IPOH – Usaha memperluas penyertaan Generasi Z (Gen Z) dan Gen Alpha dalam seni persilatan perlu dipergiat bagi memastikan warisan tradisi Melayu itu terus dipelihara dan kekal relevan dalam kalangan generasi muda.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Datuk Khairudin Abu Hanipah berkata, penganjuran program seperti Himpunan Mahabbah Pendekar Perak 2026 ini mampu menjadi platform untuk memupuk minat golongan muda terhadap seni mempertahankan diri itu.
Menurutnya, peluang penyertaan yang lebih luas juga perlu diberikan kepada golongan berkenaan, khususnya dalam mendepani kecenderungan mereka terhadap media sosial.
“Ini adalah salah satu kaedah yang dibuat oleh Persatuan Seni Gayong Serantau Malaysia (PSGSM) Perak sebagai alternatif untuk kita menarik minat kepada anak-anak muda khususnya Gen Alpha dan Gen Z untuk bersama dalam program persilatan ini.
“Kerana kita pun faham anak-anak kita di zaman Gen Alpha dan Gen Z lebih kepada medsos (media sosial) yang lebih memberi ketenangan kepada mereka
“Tetapi saya cukup yakin kalau kita memberi hebahan, memberi ruang dan peluang kepada anak-anak ini, sudah pasti mereka juga ada minat, ada ingin mempelajari (ilmu persilatan),” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mewakili Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad merasmikan program Himpunan Mahabbah Pendekar Perak 2026 di Dewan Utama, Kompleks Belia dan Sukan Perak, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Khairudin berkata, kerjasama antara persatuan silat dengan agensi kerajaan, termasuk sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT), perlu diperkukuh bagi memperluas penyertaan golongan muda dalam bidang itu.

“Saya lihat kolaborasi ini perlu juga dipersamakan dengan agensi-agensi kerajaan seperti sekolah, IPT dan saya difahamkan mereka mempunyai persatuan silat serta ada dalam kalangan pelajar yang sampai ke tahap mewakili Malaysia dan juga negeri.
“Mereka boleh dijadikan sebagai ikon dan idola untuk mempromosikan bahawa seni silat ini adalah salah satu seni pertahankan diri yang perlu dipelajari khususnya orang Melayu dalam meningkatkan lagi jumlah penyertaan serta penglibatan.
“Pada masa yang sama, kita tidak mahu warisan yang kita warisi ini akan mati dan terpinggir apabila tidak ada lagi sokongan daripada orang anak-anak muda,” ujarnya.
Beliau berkata, usaha memelihara seni silat bukan sahaja penting untuk mengekalkan warisan budaya Melayu, malah selari dengan aspirasi kerajaan dalam memperkukuh perpaduan masyarakat.
Menurutnya, tema program berkenaan, iaitu “Mahabbah Diperkukuh, Warisan Dipelihara, Perpaduan Diperkasakan”, bertepatan dengan usaha memelihara warisan negara supaya terus dihargai oleh generasi akan datang.
“Silat ini telah pun diangkat dan diberi pengiktirafan oleh UNESCO pada tahun 2019 sebagai warisan negara dan merupakan salah satu perkara yang perlu kita warisi khususnya kepada anak-anak muda.
“Kita tak mahu warisan yang sememang menjadi keagungan, menjadi keunggulan kepada orang Melayu semakin hari semakin pupus kerana kurangnya berminat daripada anak muda.
“Dengan adanya program seperti ini, ia secara tidak langsung akan memberi satu motivasi dan minat kepada anak-anak muda untuk menyertai seni persilatan,” jelasnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Silat di masjid dibenarkan selagi tidak bercanggah ajaran Islam – JAIPk


