GERIK – Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad kurang bersetuju dengan pandangan segelintir pihak yang menganggap pendidikan pondok tidak lagi sesuai dengan keperluan zaman.
Sebaliknya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan itu menegaskan institusi berkenaan kekal relevan dalam membentuk generasi berilmu, berakhlak dan berdisiplin.
Menurut Saarani, kemajuan pendidikan tidak seharusnya dinilai berdasarkan kecanggihan kemudahan semata-mata kerana kekuatan ilmu, adab dan disiplin yang diterapkan menerusi sistem pendidikan pondok masih diperlukan dalam masyarakat hari ini.
“Sebab itu, saya kurang bersetuju jika ada pandangan yang menganggap pendidikan pondok tidak lagi sesuai dengan keperluan zaman.
“Kita tidak boleh menilai kemajuan pendidikan berdasarkan kecanggihan kemudahan semata-mata. Kekuatan ilmu, adab dan disiplin yang diterapkan dalam pendidikan pondok tetap diperlukan dalam membentuk generasi yang berilmu dan berakhlak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Muzakarah Ulamak Pondok Negeri Perak dan Seminar Zakat Hulu Perak di Dewan Terbuka Tok Saad, Maahad Tahfiz Pondok Air Jernih, di Kampung Ulu Kenderong, di sini, pada Jumaat.
Mengulas lanjut Saarani berkata, institusi pondok mempunyai sejarah panjang dalam perkembangan pendidikan Islam di negara ini dengan melahirkan ramai ulama, pendidik dan pemimpin masyarakat.
Katanya, pengajian kitab serta bimbingan guru bukan sahaja memelihara tradisi keilmuan Islam, malah memainkan peranan penting dalam membentuk akhlak dan menyebarkan kefahaman agama dalam kalangan masyarakat.
“Di Perak sendiri, kita mempunyai tokoh ulama pondok yang cukup besar sumbangannya. Allahyarham Syeikh Muhammad Idris al-Marbawi dari Lubuk Merbau, Kuala Kangsar, mendapat pendidikan pondok sebelum muncul sebagai sarjana yang terkenal melalui Kamus Idris al-Marbawi Arab-Melayu, sebuah karya yang terus menjadi rujukan dalam pengajian bahasa Arab.
“Di Hulu Perak pula, kita mengenang jasa Allahyarham Tuan Guru Dato’ Haji Abdul Latif Abdul Rahman atau Pak Teh, pengasas Pondok Pak Teh di Pengkalan Hulu. Begitu juga Allahyarham Ustaz Abu Bakar al-Baqir yang membangunkan Ma’ahad Al-Ehya Asshariff di Gunung Semanggol.
“Mereka membuktikan kekuatan pendidikan pondok dalam melahirkan ilmuwan dan membangunkan institusi pendidikan Islam,” katanya.

Tambahnya, perkembangan institusi pendidikan berteraskan tradisi pondok di Indonesia juga membuktikan sistem itu mampu berkembang sehingga ke peringkat universiti tanpa mengetepikan asas keilmuan agama.
“Malah, di Indonesia, Pondok Modern Darussalam Gontor telah membangunkan Universitas Darussalam Gontor, manakala Pondok Pesantren Tebuireng mempunyai Universitas Hasyim Asy’ari,” katanya.
Saarani berkata, bagaimanapun perubahan landskap maklumat, khususnya melalui internet, media sosial dan perkembangan kecerdasan buatan (AI), menuntut institusi pondok menyesuaikan pendekatan mereka bagi memastikan pendidikan agama terus dekat dengan generasi muda.
Menurutnya, kemudahan teknologi membolehkan pelbagai persoalan agama dijawab dalam masa singkat, namun tidak semua maklumat yang diperoleh tepat atau boleh dijadikan pegangan tanpa penelitian mendalam.
“Di sinilah peranan ulama pondok semakin penting. Mereka perlu terus menjadi rujukan masyarakat dalam menjelaskan hukum, membetulkan kekeliruan dan menangani penyebaran maklumat agama yang mengelirukan,” katanya. -MG Perak


