Perak aktifkan SDCC susulan ribut, banjir – Saarani

TANJUNG MALIM – Kerajaan Negeri Perak mengaktifkan Pusat Kawalan Bencana Negeri (SDCC) bagi memantau perkembangan bencana serta menyelaras tindakan agensi berkaitan susulan kejadian ribut dan banjir yang melanda daerah Larut, Matang dan Selama serta Manjung.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pusat yang beroperasi sejak jam 9 pagi semalam itu akan dilaksanakan selama 24 jam sekiranya bencana melibatkan lebih daripada tiga daerah.

“Mengambil kira keadaan cuaca yang tidak menentu dan risiko bencana menjelang musim tengkujuh, kerajaan negeri menerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) telah memperkukuh kesiapsiagaan.

“Ia melibatkan penyelarasan 6,283 anggota pelbagai agensi serta aset penyelamat, termasuk 204 bot dan 439 kenderaan pacuan empat roda, bagi memastikan bantuan dapat digerakkan segera apabila diperlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak Siri Ketujuh Tahun 2026 di Dewan Seri Tanjong, Majlis Daerah Tanjung Malim, di sini, hari ini.

Saarani berkata, sejak bencana melanda, pegawai-pegawai pejabat daerah serta pegawai khas Menteri Besar di kawasan terlibat telah berada di lapangan bagi memantau dan membantu menyelaraskan keperluan penduduk.

“Saya menzahirkan rasa simpati kepada semua keluarga yang terjejas dan mahu keselamatan serta kebajikan mangsa terus diberikan keutamaan.

“Ini termasuk memastikan bekalan makanan, tempat perlindungan dan keperluan kesihatan mendapat perhatian sewajarnya, khususnya bagi golongan rentan,” ujarnya.

Pada masa sama, beliau turut mengarahkan semua agensi berkaitan supaya sentiasa bersiap siaga dan meningkatkan pemantauan di kawasan berisiko.

“Penduduk dinasihatkan agar berwaspada terhadap perubahan cuaca, mengambil langkah keselamatan lebih awal serta mematuhi arahan pihak berkuasa sekiranya keadaan memerlukan,” katanya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

TLDM turun padang bantu penduduk terjejas banjir kilat di Pangkor

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI