PRK Ayer Kuning: SPR jangka lebih 90 peratus tunai tanggungjawab undi awal

TAPAH – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjangkakan lebih daripada 90 peratus anggota dan pegawai polis menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi awal pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, pada Selasa.

Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, peraturan itu merupakan sebahagian daripada keseluruhan 500 pengundi awal di dua pusat mengundi.

Katanya, seramai 476 menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi awal di Dewan Rekreasi Pegawai Kanan Batalion 3, Pasukan Gerak Am (PGA) Bidor, sementara 24 di Dewan Anggerik, Kompleks Perumahan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah.

“Saya difahamkan 24 anggota dan pegawai polis telah selesai menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi di Kompleks Perumahan IPD Tapah.

“Dan setakat jam 9 pagi, seramai 22.8 peratus telah selesai keluar mengundi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas meninjau perjalanan undi awal PRK DUN Ayer Kuning di Dewan Rekreasi Pegawai Kanan Batalion 3, PGA Bidor, dekat sini, pada Selasa.

Menurut Ramlan, proses undi awal bersempena dengan PRK DUN Ayer Kuning dijangka akan selesai sekitar jam 10 pagi.

Di samping itu beliau berkata, pihaknya telah menerima sebanyak 27 laporan berkaitan kesalahan pilihan raya dengan kesemuanya telah diselesaikan, kecuali empat masih dalam siasatan polis.

Mengulas lanjut Ramlan memberitahu, SPR menjangkakan lebih daripada 70 peratus akan keluar mengundi pada hari pengundian PRK DUN Ayer Kuning, Sabtu ini.

“Jangkaan ini dibuat berdasarkan kepada trend (beberapa siri) PRK sebelum ini.

“Oleh itu, saya menyeru kepada semua pengundi untuk keluar awal pada hari pengundian memandang cuaca ketika ini tidak menentu,” jelas beliau.

Terdahulu tinjauan Malaysia Gazette (MG) Perak di dua pusat mengundi PRK DUN Ayer Kuning mendapati keadaan terkawal dengan masing-masing dibuka seawal jam 8 pagi.

Pegawai dan anggota polis di Dewan Rekreasi Pegawai Kanan Batalion 3, PGA Bidor serta Kompleks Perumahan IPD Tapah mula mengundi sebaik sahaja pintu pusat mengundi dibuka.

PRK DUN Ayer Kuning menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) Dr Mohamad Yusri Bakir, dengan Abd Muhaimin Malek dari Perikatan Nasional (PN) dan Bawani KS (Parti Sosialis Malaysia – PSM). – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

PRK Ayer Kuning: Pengundi awal tunai tanggungjawab hari ini

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI