RM26 juta untuk Kad Perak Sejahtera, 22,000 orang terima manfaat

IPOH – Kerajaan Negeri Perak amat cakna dengan memberikan keutamaan kepada usaha meringankan beban kos sara hidup, khususnya bagi penduduk yang berpendapatan rendah di negeri ini.

Justeru, kerajaan negeri mengambil inisiatif menjalankan kajian sosial bagi meneliti keresahan rakyat hari ini menemukan satu kebimbangan yang sama, iaitu peningkatan kos sara hidup.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, menerusi Titik Sentuhan Pertama di bawah Sentuhan Perak Sejahtera pelbagai peruntukan disediakan bagi membantu meringankan masalah tersebut antaranya dengan meningkatkan penerima Program Kad Perak Sejahtera daripada 21,000 kepada 22,000 orang melibatkan RM26 juta.

Menurutnya, jumlah itu meningkat RM1.5 juta berbanding tahun sebelumnya yang dapat membantu penduduk di negeri ini mendapatkan barangan keperluan harian, sekali gus meringankan keresahan dalam memastikan keperluan keluarga sentiasa mencukupi.

“Sebanyak RM4 juta turut diperuntukkan bagi Program Pasar Sejahtera Rakyat untuk tahun hadapan menerusi jualan barangan keperluan asas pada harga 10 hingga 30 peratus lebih rendah daripada harga pasaran yang sebelum ini telah memanfaatkan lebih 28,000 rakyat Perak pada tahun sebelumnya.

“Peruntukan bagi Program Bantuan Kotak Makanan meningkat RM200,000 menjadikan jumlahnya RM6.2 juta berbanding tahun lalu bertujuan membantu keluarga yang dihimpit kesempitan hidup agar keperluan makanan di rumah tidak terabai, terutama ketika berdepan saat-saat yang sukar,“ katanya.

Beliau berkata demikian dalam Pembentangan Belanjawan Perak 2027 pada Mesyuarat Ketiga, Tahun Keempat, Dewan Negeri Perak Ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, hari ini.

Tambahnya, kerajaan negeri akan bekerjasama dengan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) untuk mengadakan jualan ikan murah di lokasi terpilih di sekitar Perak, bagi membantu rakyat mendapatkan bekalan ikan pada harga yang lebih berpatutan. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

‘Kad Perak Sejahtera’ Mengukir Senyuman

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI