Belanjawan Perak 2027: Lebih RM85 juta untuk kelestarian alam sekitar

IPOH – Kerajaan Negeri Perak memperuntukkan RM51.26 juta bagi Belanja Mengurus Jabatan Perhutanan Negeri Perak, meningkat RM2.9 juta berbanding tahun 2026 manakala RM10 juta pula bagi Belanja Pembangunan menerusi Belanjawan Perak 2027 di bawah fokus Kelestarian Alam Sekitar.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, dalam usaha memelihara biodiversiti, Perak turut memperkukuh perlindungan habitat Harimau Malaya melalui inisiatif Conservation Assured Tiger Standards (CA|TS) yang melibatkan empat kawasan hutan simpan iaitu Amanjaya, Gerik, Banding dan Temengor.

Menurutnya, pada tahun ini, Perak turut mencatat kejayaan apabila pencalonan Kompleks Hutan Temengor dan Hutan Simpan Amanjaya telah diterima oleh International Big Cat Alliance (IBCA).

“Usaha penghijauan juga menunjukkan pencapaian membanggakan apabila sebanyak 11.4 juta pokok berjaya ditanam antara 2021 hingga 2025, mengatasi sasaran 10 juta pokok.

“Penanaman diteruskan dengan 158,021 pokok lagi sehingga September lalu, di samping usaha memelihara ekosistem bakau Kuala Gula serta rangkaian ekologi Central Forest Spine,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Pembentangan Belanjawan Perak 2027 pada Mesyuarat Ketiga, Tahun Keempat, Dewan Negeri Perak Ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, pada Selasa.

Dalam perkembangan berkaitan, Saarani berkata, bagi memperkukuh institusi dan program kelestarian alam sekitar, kerajaan negeri turut menyediakan beberapa peruntukan khusus, antaranya RM6.7 juta kepada Perbadanan Taman Negeri Perak, RM200,000 bagi Geopark Lenggong dan RM500,000 kepada Pejabat Warisan Dunia (WHO) Lenggong.

“Sebanyak RM600,000 pula diperuntukkan bagi Perak Lestari dan Teknologi Hijau, manakala RM500,000 disediakan untuk program-program di bawah Sekretariat Kelestarian Alam Perak.

“Kerajaan negeri turut memperuntukkan RM780,000 bagi penyelenggaraan tapak Repositori Mukim Belanja oleh Perbadanan Menteri Besar (MB Inc.).

“Selain itu, sebanyak RM14.57 juta untuk pelaksanaan pelbagai program dan projek jabatan serta agensi menerusi peruntukan Insentif Kewangan bagi Konservasi Biodiversiti dan Hutan (EFT),” jelasnya.

Untuk rekod, Perak mempunyai kawasan berhutan seluas 1.015 juta hektar atau 48 peratus daripada keseluruhan keluasan negeri.

Daripada jumlah tersebut, 988,723.93 hektar merupakan Hutan Simpanan Kekal yang terus diuruskan secara berkekalan, termasuk melalui pensijilan pengurusan hutan dan pelaksanaan program pemuliharaan.  – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Tenaga solar pemacu baharu ekonomi hijau Perak

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI