Tenaga solar pemacu baharu ekonomi hijau Perak

PERAK terus memberi tumpuan kepada pembangunan tenaga boleh baharu, khususnya tenaga solar yang berpotensi menarik pelaburan baharu, merancakkan pertumbuhan ekonomi serta menyokong agenda peralihan tenaga negeri.

Kekayaan sumber semula jadi, ketersediaan tanah yang luas serta sokongan rangkaian infrastruktur sedia ada di negeri ini dilihat mempunyai prospek besar untuk mengembangkan sektor tenaga boleh baharu.

Melihat potensi tersebut, Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk), menerusi anak syarikat dan rakan strategiknya, terus meneroka serta melaksanakan pelbagai inisiatif tenaga solar, hidro dan teknologi hijau di seluruh negeri.

Dalam usaha memperluas pembangunan tenaga solar, kerajaan negeri turut memberi mandat kepada PKNPk untuk menyelaras pembangunan ladang solar, khususnya di Mukim Kampung Gajah dan Mukim Pasir Panjang Hulu, Daerah Perak Tengah.

Tanah yang sebelum ini kurang produktif dibangunkan sebagai ladang solar berskala besar menerusi sistem solar photovoltaic (PV), selain projek solar terapung di empangan, tenaga hidro, lampu jalan solar pintar serta pemasangan sistem solar di bangunan awam dan masjid.

Tenaga solar pemacu baharu ekonomi hijau Perak
Gambar hiasan.

Inisiatif ini mencerminkan pendekatan bersepadu PKNPk dalam mengoptimumkan sumber dan aset negeri bagi menjana nilai ekonomi yang mampan.

Usaha ini bukan sekadar menghasilkan tenaga bersih, malah turut membuka ruang kepada pelaburan, mewujudkan peluang ekonomi, memperkukuh penglibatan industri tempatan dan membantu mengurangkan jejak karbon demi sebuah Perak yang lebih mampan untuk generasi hari ini dan masa hadapan.

Exco Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Teh Kok Lim berkata, berdasarkan rekod semasa, terdapat sebanyak 28 projek Large Scale Solar (LSS) di Perak dengan jumlah kapasiti keseluruhan sebanyak 1,441.30 megawatt (MW).

Katanya, ia merangkumi 21 projek yang telah beroperasi dengan kapasiti 542.18 MW dan tujuh projek yang sedang dalam pembangunan dengan kapasiti 899.12 MW.

“Antara 21 projek yang telah beroperasi, daerah Kerian merekodkan kapasiti tertinggi dengan empat projek berjumlah 190.95 MW, manakala Perak Tengah mencatatkan kapasiti terendah, iaitu 17.36 MW.

Tenaga solar pemacu baharu ekonomi hijau Perak
Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad (tiga, kanan) melakukan lawatan ketika hadir ke Majlis Perasmian Loji Janakuasa Tenaga Solar Berkapasiti 50 Megawatt (MW) di solar berskala besar (LSS4) di Parit Buntar, pada tahun lalu.

“Bagi tujuh projek yang sedang dalam pembangunan pula, projek berkapasiti terbesar ialah di daerah Larut Matang dengan kapasiti 470 MW, manakala Selama mencatatkan kapasiti 4.16 MW.

“Secara keseluruhannya, perkembangan projek LSS ini menunjukkan bahawa kapasiti tenaga solar di negeri ini bukan sahaja telah mencapai tahap operasi yang signifikan, malah mempunyai potensi pertambahan kapasiti yang besar melalui projek-projek yang sedang dalam pembangunan.

“Dengan tambahan kapasiti sebanyak 899.12 MW daripada projek-projek dalam pembangunan, jumlah kapasiti LSS di negeri Perak berpotensi mencecah sekitar 1,441.30 MW apabila keseluruhan projek tersebut siap dan mula beroperasi,” katanya.

Beliau berkata, PKNPk menerusi anak syarikatnya, Majuperak Holdings Berhad (MHB), turut menjadi antara peneraju inisiatif tenaga boleh baharu dan teknologi hijau di Perak, khususnya melalui pembangunan projek tenaga solar bagi institusi agama dan pendidikan.

“MHB telah menjalinkan kerjasama strategik dengan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) melalui pelaksanaan projek pemasangan panel solar PV di 20 buah masjid perintis di beberapa daerah di negeri ini.

Tenaga solar pemacu baharu ekonomi hijau Perak
Exco Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Teh Kok Lim.

“Projek ini merupakan sebahagian daripada usaha memperluas penggunaan tenaga bersih, di samping membantu masjid mengurangkan kebergantungan kepada bekalan elektrik konvensional serta mengoptimumkan kos utiliti dalam jangka panjang.

“Sebelum pelaksanaan projek, kajian teknikal awal telah dilaksanakan terhadap 85 buah masjid dan 20 buah masjid telah dikenal pasti sebagai lokasi perintis.

“Keseluruhan projek di 20 masjid tersebut melibatkan kapasiti penjanaan sebanyak 513.01 kW dengan nilai pelaburan awal berjumlah RM2.25 juta.

“Antara projek yang telah siap ialah Masjid Sultan Yusuf Izzudin Shah di Kuala Kangsar, yang mempunyai kapasiti solar sebanyak 52.7 kW dan berperanan sebagai salah satu contoh pembangunan masjid rendah karbon di Perak.

“Pelaksanaan projek solar masjid ini turut menggunakan pendekatan Skim Pemeteran Tenaga Bersih (NEM) 3.0, yang membolehkan lebihan tenaga elektrik yang dijana pada waktu siang disalurkan semula ke grid,” jelasnya.

Tenaga solar pemacu baharu ekonomi hijau Perak
Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Kok Lim berkata, bagi sektor pendidikan pula, inisiatif tenaga solar turut diperluaskan melalui projek solar di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), khususnya di Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City.

Menurutnya, projek berkenaan dilaksanakan melalui kerjasama UPSI Holdings Sdn Bhd, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan rakan strategik, dengan pembangunan kemudahan solar termasuk struktur parkir berbumbung solar.

“Projek tersebut mempunyai kapasiti penjanaan sebanyak 3.24 MWp dan dijangka memberikan penjimatan kos elektrik sekitar RM1.35 juta hingga RM1.5 juta setahun.

“Pemasangan solar ini turut mengaplikasikan konsep penggunaan ruang secara dwi-fungsi, antaranya di kawasan parkir kenderaan, kompleks sukan, tapak pesta konvokesyen serta bangunan fakulti dan masjid universiti,” katanya.

Beliau berkata, secara keseluruhannya, pelaksanaan projek-projek ini mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam menyokong agenda peralihan tenaga dan kelestarian di Perak.

Tambahnya, komitmen itu bukan sahaja diterjemahkan melalui pembangunan kapasiti tenaga boleh baharu, tetapi turut memastikan manfaat ekonomi, alam sekitar dan sosial dapat dinikmati oleh institusi serta komuniti setempat. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Perak terima 700 tiang lampu jalan solar tahun ini

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI