TAIPING – Sebanyak 700 tiang lampu jalan raya berkuasa solar telah diluluskan kerajaan untuk dipasang di seluruh Perak bagi tahun ini.
Exco Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Teh Kok Lim berkata, inisiatif di bawah Program Solar MADANI itu sebagai usaha untuk meningkatkan kemudahan pencahayaan dan keselamatan penduduk terutama di kawasan luar bandar.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Aulong berkata, daripada jumlah berkenaan, daerah Larut, Matang dan Selama (LMS) menerima sebanyak 80 tiang lampu solar yang telah siap dipasang sepenuhnya pada 18 Julai lalu.
“Saya amat berbangga dengan pelaksanaan Program Solar MADANI yang memfokuskan kepada pemasangan lampu jalan solar di luar bandar dan kawasan tumpuan awam di negeri ini.
“Inisiatif ini bukan sahaja membekalkan pencahayaan segera dan meningkatkan keselamatan, malah ia selari dengan Dasar Teknologi Hijau Negara kerana menggunakan tenaga boleh baharu yang mesra alam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program MADANI Kita (PMK) anjuran anjuran Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) di Dataran Warisan Taiping, pada Ahad.
Hadir sama, Pengarah JAPEN Perak Hasmiza Hussin serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pokok Assam, Ong Seng Guan.

Menurut Kok Lim, penggunaan tenaga solar juga dapat mengurangkan kebergantungan kepada grid elektrik selain membantu menjimatkan kos tenaga khususnya bagi kawasan yang sukar mendapatkan kemudahan infrastruktur elektrik konvensional.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, kerajaan turut memberi perhatian terhadap usaha merapatkan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar menerusi pelaksanaan Program Kampung Angkat MADANI.
Ujar beliau, sebanyak 500 kampung disasarkan menerima manfaat menerusi program berkenaan pada tahun ini dengan lapan kampung di daerah LMS telah terpilih sepanjang tempoh tahun 2024 hingga 2026.
“Sebagai contoh, Kampung Boyan menerima peruntukan RM500,000 melalui Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) bagi meningkatkan prasarana komuniti.
“Peruntukan tersebut digunakan untuk menaik taraf Dewan Serbaguna, gelanggang sukan, landskap, serta pengupayaan komuniti melalui penganjuran Festival Kampung dan program kepimpinan,” katanya.
Pada masa sama Kok Lim berkata, dua sekolah di daerah LMS masing-masing telah menerima peruntukan sebanyak RM100,000 sebagai usaha memperkasakan perkhidmatan pendidikan di bawah Program Sekolah Angkat MADANI.
Jelas beliau, sekolah berkenaan adalah Sekolah Menengah Kebangsaan Pengkalan Aur dan Sekolah Kebangsaan All Saints’ yang kesemuanya memanfaatkan dana berkenaan termasuk menaik taraf bilik komputer, bilik seminar, penyediaan papan pintar, dan sebagainya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


