IPOH – Penggunaan Sistem Maklumat Geografi (GIS) bakal memperkukuh perancangan perkhidmatan kesihatan di Perak menerusi keupayaan mengenal pasti kawasan yang berdepan jurang akses kepada kemudahan rawatan, khususnya perkhidmatan kecemasan.
Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, Datuk A. Sivanesan berkata, pendekatan berasaskan data geospatial membolehkan kerajaan menilai akses penduduk kepada fasiliti kesihatan dengan mengambil kira lokasi, rangkaian pengangkutan, masa perjalanan serta halangan geografi.
Menurutnya, maklumat kependudukan yang dipadankan dengan data guna tanah, persekitaran dan risiko bencana dapat membantu agensi berkaitan mengenal pasti kawasan yang memerlukan perhatian serta merancang penyampaian perkhidmatan kesihatan dengan lebih berkesan.
“Melalui analisis ini, kita dapat mengenal pasti jurang perkhidmatan dan kawasan yang memerlukan perhatian, termasuk dalam perancangan tindak balas kecemasan,” katanya.
“Program ini memperkukuhkan penggunaan sistem maklumat geografi dalam perancangan pemantauan dan penyampaian perkhidmatan kesihatan dan melalui analisis data kependudukan boleh dipandankan dengan maklumat guna tanah, persekitaran dan risiko bencana.
“Analisis ini membantu agensi mengenal pasti jurang perkhidmatan dan kawasan yang memerlukan perhatian termasuk dalam perancangan tindak balas kecemasan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri majlis perasmian program Perak Health Geoinnovation 2026 di Hotel Casuarina Meru, di sini.
Program anjuran Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) menerusi PerakGIS dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak itu berlangsung selama dua hari bermula 10 November.
Bertemakan ‘Geospatial Intelligence for Smarter Healthcare Planning and Delivery’, program ini menghimpunkan wakil sektor kesihatan dan agensi teknikal untuk meneliti bagaimana GIS boleh membantu mengenal pasti jurang akses kepada perkhidmatan kesihatan.
Tambah Sivanesan, ia juga bertujuan mendapatkan pandangan kepakaran dan komitmen Kementerian Kesihatan Malaysia dan JKN Perak bagi meneliti cadangan penambah modul kesihatan dalam sistem geopolitik.
“Selaras dengan Aspirasi Perak Sejahtera 2030, kerjasama antara agensi kerajaan perancangan, infrastruktur dan pengurusan risiko diharap dapat meningkatkan akses kepada perkhidmatan dan kesiapsiagaan menghadapi kecemasan.
“Pengurusan dan perkongsian data kesihatan hendaklah mematuhi keperluan keselamatan, kerahsiaan dan peraturan yang dikuatkuasakan,” katanya. -MG Perak


