Najib kembali ke Langgak Duta jalani baki hukuman penjara di rumah hari ini

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman penjara kes SRC International di kediamannya di Langgak Duta bermula hari ini selepas Mahkamah Tinggi di sini mengeluarkan perintah pelepasan baharu selaras dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong (YDPA).

Hakim Datuk Aslam Zainuddin membatalkan perintah yang dikeluarkan oleh Pejabat Pendaftaran Jenayah Mahkamah Tinggi bertarikh 6 November lalu dan menggantikannya dengan perintah baharu selepas mendengar permohonan klarifikasi yang dikemukakan Jabatan Peguam Negara (AGC).

“Selaras dengan perintah pengampunan bersyarat, tertuduh hendaklah menjalani baki hukuman penjara yang telah dikurangkan secara tahanan di rumahnya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta, Kuala Lumpur sehingga 23 Ogos 2028,” ujar beliau.

Terdahulu, AGC memfailkan permohonan agar Perintah Pelepasan atas Pembayaran Denda bertarikh 6 November lalu, diketepikan atau dibatalkan dan digantikan dengan perintah baharu.

Menurut notis permohonan, perintah pelepasan tersebut tersilap menyatakan deskripsi mahkamah, tarikh sabitan, deskripsi kesalahan-kesalahan, denda yang dikenakan, tarikh pemenjaraan dan waran pemenjaraan.

Notis itu turut menyatakan, tarikh tamat tempoh hukuman-hukuman bagi kes SRC hendaklah dinyatakan secara pasti.

“Mahkamah ini mempunyai bidang kuasa sedia ada (inherent jurisdiction) untuk meminda, membetulkan, mengenepikan dan mengeluarkan semula perintah-perintahnya sendiri agar ia selaras dengan undang-undang dan rekod.

“Perintah yang dipohon tidak mengubah sifat atau kuantum apa-apa hukuman, sebaliknya selaras dengan apa yang dihasratkan oleh mahkamah dan Perintah Pengampunan Diraja,” demikian menurut notis permohonan yang difailkan hari ini.

Sementara itu, peguam Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah menarik perhatian mahkamah bahawa perintah pelepasan tidak perlu dikeluarkan.

“Menjadi tugas kami untuk memaklumkan kepada mahkamah bahawa sebenarnya perintah pelepasan tidak perlu dikeluarkan, memadai dengan memaklumkan bahawa denda RM50 juta telah dibayar dan diterima oleh mahkamah,” ujarnya.

Sementara itu, notis permohonan selanjutnya menyatakan, pembayaran denda RM50 juta sebagaimana yang ditetapkan oleh Perintah Pengampunan Bersyarat bertarikh 18 September lalu, hanya melepaskan Najib daripada tanggungan membayar denda dan tidak melepaskan responden daripada hukuman pemenjaraan sehingga 23 Ogos 2028.

Permohonan itu juga mahukan Pegawai Yang Menjaga Penjara Kajang memindahkan Najib ke dalam jagaan Pegawai Tahanan Rumah yang dilantik oleh Komisioner Jeneral Penjara ke di No. 11, Jalan Langgak Duta, Taman Duta, di sini.

Premis itu telah diisytiharkan sebagai suatu penjara di bawah Seksyen 3 Akta Penjara 1995 melalui pemberitahuan warta bertarikh 6 November lalu.

Notis itu turut menyatakan, responden hendaklah dipindahkan semula ke Penjara Kajang pada 24 Ogos 2028 untuk menjalani hukuman yang telah dijatuhkan terhadapnya dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sejurus selepas tamatnya tempoh pemenjaraan bagi kes SRC.

Pada 6 November lalu, Najib dilaporkan telah melunaskan denda RM50 juta di kaunter pembayaran hasil Mahkamah Tinggi di sini bagi membolehkan baki hukuman penjaranya dijalani menerusi tahanan di rumah.

Bagaimanapun, beliau kembali ke Penjara Kajang pada hari yang sama selepas menjalani pemeriksaan kesihatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

AGC sebelum ini memaklumkan pelaksanaan tahanan di rumah itu ditangguhkan sementara bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung interpretasi Perintah Pengampunan Bersyarat yang diperkenankan Seri Paduka.

Sebelum ini, pelbagai pihak mengulas kekeliruan yang dibangkitkan berhubung perintah pelepasan yang dikeluarkan oleh Pejabat Pendaftaran Jenayah Mahkamah Tinggi, Jumaat lalu.

Semalam, pelbagai pihak membangkitkan kecacatan perintah pelepasan terhadap bekas Perdana Menteri bagi mengelak salah tanggapan yang lebih besar.

Isu kecacatan perintah termasuk istilah yang digunakan serta penggunaan bahasa yang bercampur aduk mula tular dalam media social dua hari lalu semalam yang kini tular dalam laman sosial, perlu segera dimuktamadkan bagi mengelak salah tanggapan yang lebih besar.

Pada prosiding itu, pasukan pendakwaan diketuai oleh Pengarah Pendakwaan Kuala Lumpur, Datuk Mohd. Nordin Ismail.

Turut hadir, Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya Datuk Ahmad Akram Gharib, Mohamad Mustaffa P. Kunyalam, Mohamad Fadhly Mohd Zamry dan Siti Pervinah Mohamad Yusof mewakili pendakwaan.

Selain itu, Peguam Kanan Persekutuan, Ahmad Hanir Hambaly @ Arwi mewakili AGC. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI