TELUK INTAN – Perkembangan banjir di daerah Hilir Perak terus menunjukkan tanda positif apabila hanya 304 mangsa daripada 90 keluarga masih ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 8 pagi Khamis.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Perak menerusi satu kenyataan berkata, jumlah ini menurun berbanding jam 8 pagi semalam yang merekodkan 380 mangsa membabitkan 108 keluarga masih berlindung di dua PPS tersebut.
Menurutnya, seramai 255 orang daripada 75 keluarga ditempatkan di PPS Dewan Rumah Rehat Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI).
“Bilangan mangsa yang ditempatkan di PPS Dewan MPTI Langkap pula adalah seramai 49 orang melibatkan 15 keluarga.
“Kedua-dua PPS itu menempatkan mangsa banjir melibatkan penduduk di Kampung Batu 9 Changkat Jong, Kampung Batu 11½ Jalan Bidor, Kampung Batu 8 Changkat Jong Felcra, Kampung Batu 7½ Jalan Changkat Jong, Kampung Batu 10 Changkat Jong dan Ladang Moccis,” katanya hari ini.
Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perak dalam kenyataan memaklumkan paras air Sungai Kinta di Tanjung Tualang dan Sungai Slim di Slim River melepasi paras merbahaya masing-masing dengan bacaan 14.01 dan 26.18 meter.
“Sungai Kurau di Kolam Air Bukit Merah serta Sungai Kampar di Kampung Baru Kuala Dipang masing-masing mencatatkan bacaan amaran iaitu 9.08 dan 22.26 meter,” jelasnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


