MELAKA – Kepulangan Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menjalani tahanan rumah tidak bermakna bekas Perdana Menteri itu didapati tidak bersalah atau sabitan jenayahnya telah dipadamkan.
Oleh itu, Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia, Nabil Halimi mengingatkan semua pihak supaya tidak menyamakan perubahan tempat menjalani hukuman dengan pembebasan daripada sabitan.
“Najib pulang ke rumah bukan kerana beliau tidak bersalah, tetapi kerana dibenarkan menjalani baki hukuman penjaranya di rumah.
“Jangan terlalu ghairah meraikan kepulangannya sehingga terlupa mengapa beliau dihantar ke penjara sejak awal,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, keputusan Mahkamah Tinggi membatalkan perintah pelepasan terdahulu dan menggantikannya dengan perintah baharu menunjukkan tindakan Jabatan Peguam Negara (AGC) mendapatkan penelitian semula mempunyai asas perundangan.
“Langkah itu bertujuan memastikan keputusan pengampunan bersyarat dilaksanakan dengan tepat, termasuk ketetapan bahawa Najib masih perlu menjalani baki hukuman menerusi tahanan rumah.
“Justeru, tindakan AGC mendapatkan penjelasan dan pembetulan perintah mahkamah bukanlah mengingkari titah Agong, sebaliknya memastikan titah Baginda serta keputusan Lembaga Pengampunan dilaksanakan dengan tepat, tanpa sebarang penyimpangan daripada maksud asalnya,” ujarnya.
Pada masa sama, Nabil turut menolak tuduhan kononnya terdapat campur tangan politik Kerajaan Madani dalam tindakan AGC berhubung perkara itu.
“Kedudukan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said yang juga Ketua Penerangan UMNO tidak bermakna keputusan AGC dibuat atas arahan politik mana-mana pihak.
“Jangan kerana terlalu tidak sabar mahu melihat Najib pulang ke rumah, usaha memastikan titah Agong dilaksanakan dengan tepat pula dituduh sebagai konspirasi politik,” tambahnya.
Sementara itu, Nabil berkata, Pakatan Harapan menghormati proses pengampunan diraja dan keputusan Lembaga Pengampunan, meskipun tidak bersetuju dengan kelonggaran tahanan rumah dari sudut prinsip perjuangan menentang rasuah.
“Penghormatan terhadap institusi diraja serta proses kehakiman tidak sepatutnya ditafsirkan sebagai usaha memutihkan rekod jenayah rasuah.
“Yang dipinda ialah perintah pelaksanaan hukuman, bukannya sabitan jenayah Najib.
“Rumahnya mungkin kini menjadi tempat menjalani hukuman, tetapi sabitan bersalahnya tetap tidak berubah,” katanya.
Terdahulu, Pada 10 November, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membatalkan perintah bertarikh 6 November dan mengeluarkan perintah baharu bagi pelaksanaan baki hukuman kes SRC International menerusi tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028. – MalaysiaGazette


