KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan dihantar semula serta-merta ke Penjara Kajang atau mana-mana penjara ditentukan oleh pihak penjara sekiranya melanggar syarat-syarat ditetapkan sepanjang menjalani baki hukuman rumah.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ketetapan itu sudah dinyatakan dengan jelas dalam syarat yang dikenakan terhadap bekas ahli Parlimen Pekan itu.
Beliau berkata, perincian mengenai tindakan sekiranya berlaku pelanggaran syarat turut diperjelaskan menerusi arahan dan tatacara yang ditetapkan.
Menurutnya, kerajaan sudah menjangkakan kemungkinan berlaku pelanggaran syarat dan menetapkan tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang gagal mematuhinya.
“Prinsipnya adalah syarat-syarat diberikan, langgar segera dibatalkan dan dikembalikan ke penjara,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor) berkenaan sama ada penahanan rumah itu ditarik balik sekiranya terdapat pelanggaran syarat-syarat oleh Najib, seperti mengadakan ceramah melalui Zoom, mengadakan mesyuarat melalui online dan permintaan-permintaan lain.
Dalam perkembangan berasingan, Saifuddin Nasution berkata, beliau akan membawa cadangan supaya minit mesyuarat Lembaga Pengampunan dinyahklasifikasikan ke mesyuarat Jemaah Menteri esok.
Katanya, cadangan itu dikemukakan Ahli Parlimen (MUDA-Muar), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang mahu minit mesyuarat berkenaan didedahkan bagi memberikan gambaran lebih tepat dan adil berhubung proses serta keputusan Lembaga Pengampunan.
Menurutnya, perkara itu berada dalam bidang kuasa dan tanggungjawab Peguam Negara, namun beliau tidak mempunyai sebarang halangan untuk membawa syor berkenaan ke peringkat Jemaah Menteri.
“Saya akan memberanikan diri membawa bahawa ini syor daripada Parlimen, daripada Muar. Syornya spesifik, apakah kerajaan bersedia untuk menimbangkan untuk menyahklasifikasikan minit itu,” katanya. – MalaysiaGazette


