Belanjawan Negeri 2027: Perak peruntuk RM12 juta bantuan khas pendidikan Melayu, Islam

IPOH – Sebanyak RM12 juta diperuntukan Kerajaan Negeri Perak bagi bantuan khas pendidikan Melayu dan Islam, dengan RM2 juta daripadanya disalurkan bagi bantuan perkapita pelajar sekolah tahfiz dan pondok pada tahun hadapan.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, ia merupakan antara usaha kerajaan negeri dalam memastikan semua anak di negeri ini mempunyai peluang dalam pendidikan dan seterusnya dapat membina kehidupan yang lebih baik.

Katanya, inisiatif di bawah Fokus Ketiga Belanjawan 2027 iaitu Pembangunan Modal Insan dan Belia itu bertujuan memperkukuhkan asas pendidikan serta membuka peluang masa hadapan kepada anak muda.

“Di bawah inisiatif sama, kerajaan negeri menyediakan peruntukan berjumlah RM4.3 juta bagi bantuan perkapita pelajar sekolah kerajaan, bantuan khas pendidikan Cina (RM2.7 juta), pendidikan India (RM1 juta), serta pendidikan Orang Asli (RM400,000).

“Selain itu, Perak juga membelanjakan RM600,000 bagi sumbangan pendidikan, RM250,000 bagi bantuan sekolah pendidikan khas serta, RM240,000 untuk program pemantapan pelajar sekolah rendah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Pembentangan Belanjawan Perak 2027 pada Mesyuarat Ketiga, Tahun Keempat, Dewan Negeri Perak Ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini pada Selasa.

Menurut Saarani, kerajaan negeri turut menyalurkan sebanyak RM240,000 bagi Program Pemantapan Pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) pada tahun hadapan.

Dalam pada itu beliau berkata, kerajaan negeri memperuntukkan lebih RM17 juta sebagai usaha memperluas akses pengajian tinggi dan ekosistem ilmu menerusi Belanjawan Negeri 2027.

“Daripada jumlah itu, RM8.5 juta disalurkan kepada Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak, RM5 juta kepada Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) dan RM3.5 juta kepada Institut Darul Ridzuan (IDR).

“Selain itu, RM450,000 diperuntukkan bagi Program Pengupayaan Mahasiswa, manakala RM200,000 lagi untuk Program Jelajah Siswa dan Moh Ngopi Mahasiswa.” katanya. – MG PERAK

 

Artikel Berkaitan:

Perak salur RM10 juta untuk institusi pendidikan Islam

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI