IPOH – Perak menyediakan peruntukan sebanyak RM10.85 juta bagi pembangunan dan hal ehwal kerajaan tempatan menerusi Belanjawan Perak 2027.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, daripada jumlah itu, RM4.5 juta disalurkan kepada pelbagai projek pembangunan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan RM3.2 juta bagi kutipan sampah di luar kawasan operasi PBT.
“Sebanyak RM800,000 disalurkan bagi Inisiatif Infrastruktur Warga Emas, dan RM500,000 masing-masing untuk penyelenggaraan dan pembaikan kemudahan PBT, serta, menaik taraf papan tanda, penunjuk arah dan mercu tanda.
“Turut diperuntukan RM200,000 masing-masing untuk pengurusan kebersihan dan keselamatan kawasan Tasik Raban, penyelenggaraan bangunan dan keselamatan Kompleks Tasik Banding serta, pelbagai program bandar pintar,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Pembentangan Belanjawan Perak 2027 pada Mesyuarat Ketiga, Tahun Keempat, Dewan Negeri Perak Ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini pada Selasa.
Menurut Saarani, belanjawan sama turut menyenaraikan peruntukan RM350,000 untuk program Perak Pawsitive dan RM400,000 bagi program komuniti sejahtera.
“Ketika Perak sedang menggerakkan pembangunan industri dan nod pertumbuhan strategik, kemajuan ekonomi mesti berjalan seiring dengan peningkatan mutu perkhidmatan PBT, agar pembangunan yang pesat turut membawa keselesaan kepada masyarakat,” katanya.
Justeru beliau berkata, sebanyak RM16.35 juta diperuntukkan kerajaan negeri di bawah belanja mengurus bahagian kerajaan tempatan.
Kata Saarani, daripada keseluruhan peruntukkan berkenaan, RM4.34 juta disalurkan bagi Sumbangan Membantu Kadar dan pelaksanaan ‘Local Agenda’, serta RM7 juta bantuan mengurus kepada Majlis Daerah Gerik, Majlis Daerah Selama, Majlis Daerah Pengkalan Hulu dan Majlis Daerah Lenggong.
“Sebanyak RM1.5 juta bagi sumbangan mengurus Bukit Larut, dan RM600,000 juta bagi sumbangan mengurus Taman Botani Taiping di bawah Majlis Perbandaran Taiping,” ujarnya. – MG PERAK
Artikel Berkaitan:
Perak Pawsitive Initiative berjaya mandulkan 2,289 ekor anjing, kucing sejak 2024


