IPOH – Sebanyak RM5.23 juta diperuntukkan Kerajaan Negeri Perak bagi melaksanakan pelbagai program serta projek pembangunan luar bandar sebagai usaha merapatkan jurang pembangunan antara kawasan bandar dan luar bandar.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, segala kemajuan yang diusahakan kerajaan negeri perlu sampai kepada penduduk kampung, masyarakat Orang Asli serta komuniti yang tinggal jauh daripada pusat bandar.
“Kita mahu memastikan mereka turut menikmati kemudahan asas yang baik, peluang ekonomi yang lebih luas serta persekitaran kehidupan yang selesa dan selamat,“ katanya dalam Pembentangan Belanjawan Perak 2027 pada Mesyuarat Ketiga, Tahun Keempat, Dewan Negeri Perak Ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini hari ini.
Selain peruntukan tersebut, beliau memaklumkan bahawa kerajaan negeri memperuntukkan RM4.14 juta bagi pelaksanaan pelbagai program dan aktiviti membabitkan 828 kampung tradisional di seluruh Perak serta RM1.3 juta bagi melaksanakan aktiviti pembangunan komuniti Orang Asli.
Dalam pada itu, Saarani berkata, kerajaan negeri juga memberi perhatian kepada aspek kesihatan dan kesejahteraan komuniti menerusi pelaksanaan program kesihatan, khususnya berkaitan pencegahan serta sokongan kepada golongan yang memerlukan.
“Walaupun penyediaan perkhidmatan hospital dan rawatan kesihatan adalah tanggungjawab utama kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri terus memainkan peranan dalam memperkukuh program kesihatan komuniti, khususnya melalui pendekatan pencegahan dan sokongan kepada golongan yang memerlukan.
“Bagi tahun 2027, kerajaan negeri memperuntukkan RM550,000 bagi pelaksanaan pelbagai program kesihatan, termasuk meneruskan Program Community Feeding dengan peruntukan RM500,000.
“Pada masa sama, bagi menyokong usaha menangani ancaman penyalahgunaan dadah, kerajaan negeri memperuntukkan RM200,000 masing-masing kepada Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) serta Kompleks PENGASIH Amanjaya di Gopeng,“ ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Perak peruntuk RM4.8 juta perkasa pembangunan wanita, kebajikan masyarakat


