Belanjawan Perak 2027 tertinggi dalam sejarah berjumlah hampir RM1.7 bilion

IPOH – Kerajaan Negeri Perak membentangkan Belanjawan Perak 2027 berjumlah RM1.693 bilion, tertinggi dalam sejarah dengan anggaran perbelanjaan mengurus sebanyak RM1.1 bilion dan perbelanjaan pembangunan RM593 juta.

Jumlah berkenaan lebih tinggi berbanding Belanjawan Perak 2026 sebanyak RM1.61 bilion dengan anggaran perbelanjaan mengurus sebanyak RM1.045 bilion dan pembangunan RM568 juta.

Peruntukan pembangunan tersebut meningkat RM25 juta atau 4.4 peratus berbanding tahun sebelumnya, dan turut merupakan jumlah tertinggi dalam sejarah belanjawan negeri.

Bertemakan ‘Perak Makmur, Rakyat Sejahtera: Hasil Dirasa, Keyakinan Dibina’ Belanjawan Perak 2027 menumpukan kepada kesejahteraan rakyat; tadbir urus projek berkepentingan negeri; pembangunan modal insan; kelestarian alam sekitar dan keterjaminan bekalan makanan.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, belanjawan itu dirangka sebagai kesinambungan agenda pembangunan di bawah Pelan Perak Sejahtera 2030.

“Bagi mendukung perancangan tersebut, Kerajaan Negeri mengunjurkan Hasil dan Terimaan Pembangunan sebanyak RM1.565 bilion, meningkat RM47 juta berbanding tahun 2026.

“Jumlah ini merangkumi Hasil Cukai sebanyak RM719 juta, Hasil Bukan Cukai RM554 juta, Terimaan Bukan Hasil RM250 juta serta Terimaan Pembangunan RM42 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Pembentangan Belanjawan Perak 2027 pada Mesyuarat Ketiga, Tahun Keempat, Dewan Negeri Perak Ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini pada Selasa.

Menurut Saarani peningkatan tersebut membawa makna yang besar ekoran ia menyediakan ruang yang lebih luas untuk meneruskan projek infrastruktur, memperkukuh kemudahan awam, merancakkan kegiatan ekonomi serta menyempurnakan pelbagai ikhtiar pembangunan yang menjadi keutamaan rakyat.

“Berdasarkan unjuran hasil dan perbelanjaan tersebut, Belanjawan Negeri 2027 dirangka dengan unjuran defisit sebanyak RM128 juta, mengambil kira keperluan membiayai agenda pembangunan serta meneruskan pelbagai program yang dirancang demi kesejahteraan rakyat.

“Namun, pengalaman beberapa tahun kebelakangan ini membuktikan bahawa unjuran defisit tidak semestinya mencerminkan kedudukan kewangan sebenar pada penghujung tahun,” katanya.

Namun, Saarani berkata pengalaman beberapa tahun kebelakangan ini membuktikan unjuran defisit tidak semestinya mencerminkan kedudukan kewangan sebenar pada penghujung tahun.

Beliau berkata, Belanjawan 2026 turut dirangka dengan unjuran defisit RM95.5 juta, namun kutipan hasil negeri telah meningkat kepada RM1.244 bilion sehingga 23 November 2026.

“Insya-Allah, dengan momentum kutipan hasil yang terus diperkukuh dan perbelanjaan yang dikawal secara berhemat, Kerajaan Negeri menjangkakan Perak sekali lagi mencatatkan lebihan kewangan pada penghujung tahun 2026, sekali gus melengkapkan pencapaian surplus lima tahun berturut-turut,” katanya.

Perak sebelum ini mencatatkan defisit RM78 juta pada 2020 dan RM6.59 juta pada 2021, sebelum beralih kepada lebihan RM29.6 juta pada 2022, RM62.4 juta (2023), RM45.6 juta (2024) dan RM87.92 juta (2025). -MG Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI