Belanjawan Perak 2027 dijangka perkukuh ekonomi, tingkat kesejahteraan rakyat

IPOH – Kerajaan Negeri perlu memperkukuh momentum pertumbuhan ekonomi melalui pembangunan industri, peningkatan produktiviti tenaga kerja, infrastruktur dan pendapatan isi rumah dalam Belanjawan Perak 2027.

Bercakap kepada Malaysia Gazette, Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB) Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Muhammad Ridhuan Bos Abdullah berkata, Perak merekodkan pertumbuhan ekonomi 4.8 peratus pada 2024 dan meningkat kepada 5.7 peratus pada 2025.

Menurut beliau, prestasi berkenaan menunjukkan pengukuhan aktiviti ekonomi Perak namun ia berdepan cabaran dalam memastikan pertumbuhan tersebut dapat dikekalkan dan diterjemahkan kepada peningkatan nilai tambah serta pendapatan rakyat.

“Sektor pembuatan perlu diberikan perhatian khusus kerana mencatatkan pertumbuhan 15.2 peratus pada 2025.

“Perkembangan ini menyediakan asas untuk memperkukuh ekosistem perindustrian, meningkatkan penggunaan teknologi dan mengembangkan hubungan rantaian bekalan dengan industri di negeri-negeri bersebelahan,” katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, dalam masa sama, sektor perkhidmatan merupakan penyumbang terbesar kepada ekonomi Perak, iaitu 61.8 peratus, namun pertumbuhannya menyederhana daripada 4.4 peratus pada 2024 kepada 3.4 peratus pada 2025.

Rentetan itu beliau berkata, Belanjawan Perak 2027 perlu memperkukuh aktiviti perdagangan, pelancongan, logistik dan perkhidmatan sokongan industri yang dapat memanfaatkan perkembangan sektor pembuatan.

“Sektor pertanian pula menyumbang 13.6 peratus kepada KDNK negeri, tetapi pertumbuhannya perlahan daripada 5.1 peratus pada 2024 kepada 1.2 peratus pada 2025.

“Memandangkan Perak mempunyai ekosistem pertanian yang penting, keutamaan perlu diberikan kepada peningkatan produktiviti, mekanisasi, pemprosesan makanan dan pengukuhan hubungan antara pengeluaran pertanian dengan industri hiliran,” katanya.

Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB) Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Muhammad Ridhuan Bos Abdullah

Sehubungan itu, Ridhuan Bos berkata Belanjawan 2027 perlu memanfaatkan kekuatan ekosistem ekonomi Perak yang merangkumi sektor pembuatan, perkhidmatan, pertanian serta perlombongan dan pengkuarian.

Jelas beliau, hubungan antara sektor ini penting untuk memperluas peluang pelaburan, meningkatkan penggunaan input tempatan dan mewujudkan pekerjaan berkualiti.

“Sektor perlombongan dan pengkuarian turut menunjukkan pemulihan apabila berkembang 7.9 peratus pada 2025 berbanding penguncupan 1.9 peratus pada 2024.

“Walaupun sumbangannya masih kecil, iaitu sekitar 0.6 peratus kepada KDNK negeri, sektor ini mempunyai potensi untuk menyokong pembangunan industri hiliran berasaskan mineral dan bahan mentah tempatan,” katanya.

Perkukuh ekosistem industri, bukan sekadar tawar insentif

Ditanya bagaimana Belanjawan Perak 2027 dijangka mampu menarik pelaburan berkualiti tinggi beliau berkata, keutamaan perlu diberikan kepada pembangunan ekosistem perindustrian yang berdaya saing, khususnya melalui penyediaan infrastruktur strategik, pembangunan modal insan, penggunaan teknologi dan pengukuhan rantaian bekalan industri.

Ridhuan Bos berkata, usaha menarik pelaburan berkualiti tinggi tidak seharusnya bergantung semata-mata kepada insentif pelaburan atau penawaran tanah industri pada kos yang rendah.

Jelasnya lagi, dalam konteks ini, pembangunan Automotive High-Tech Valley (AHTV) di Tanjung Malim serta Lumut Maritime Industrial City (LuMIC) dan Lumut Port perlu dimanfaatkan sebagai pemangkin transformasi struktur industri Perak.

“Kedua-dua kawasan strategik ini mempunyai pengkhususan yang berbeza, namun berpotensi mewujudkan sinergi melalui pembangunan industri sokongan, integrasi rantaian bekalan, penggunaan teknologi dan kemudahan logistic,” katanya.

Bagi sektor semikonduktor dan E&E beliau berkata, Perak perlu memanfaatkan kedudukan geografinya yang berhampiran dengan ekosistem perindustrian Pulau Pinang dan Kedah ekoran pendekatan tersebut membolehkan negeri ini membangunkan pengkhususan industri yang saling melengkapi, khususnya dalam aktiviti pembuatan komponen, kejuruteraan berketepatan tinggi, automasi dan perkhidmatan sokongan industri.

“Pada masa yang sama, pembangunan teknologi hijau perlu disepadukan dengan keperluan industri sedia ada melalui peningkatan kecekapan tenaga, penggunaan teknologi pengeluaran yang lebih bersih dan pembangunan aktiviti ekonomi rendah karbon.

“Justeru, kualiti pelaburan perlu dinilai berdasarkan sumbangannya kepada nilai tambah tempatan, pemindahan teknologi, peningkatan produktiviti, penglibatan perusahaan tempatan serta pewujudan pekerjaan berkemahiran tinggi.

“Pendekatan ini penting bagi memastikan pelaburan baharu bukan sahaja meningkatkan kapasiti pengeluaran, tetapi turut memperkukuh daya saing dan struktur ekonomi Perak dalam jangka Panjang,” katanya.

Justeru itu beliau berpendapat bahawa Belanjawan Perak 2027 perlu dilihat sebagai instrumen dasar fiskal untuk mempercepat transformasi struktur ekonomi negeri, bukan sekadar meningkatkan jumlah peruntukan tahunan.

Katanya, keutamaan perlu diberikan kepada perbelanjaan pembangunan yang produktif, peningkatan nilai tambah serta pengukuhan daya saing industri. Dalam konteks ini, sinergi pembangunan antara Automotive High-Tech Valley (AHTV) di Tanjung Malim, Lumut Maritime Industrial City (LuMIC) dan Lumut Port perlu diperkukuh bagi meningkatkan integrasi rantaian nilai, kecekapan infrastruktur dan kesan limpahan ekonomi kepada perusahaan tempatan.

“Pada masa yang sama, keberkesanan dasar pelaburan perlu dinilai berdasarkan pelaburan yang benar-benar direalisasikan, bukannya jumlah kelulusan semata-mata.

“Pembangunan industri juga perlu disepadukan dengan strategi pembangunan modal insan melalui program latihan semula (reskilling), peningkatan kemahiran (upskilling) serta usaha mengekalkan dan menarik bakat tempatan,” katanya.

Tambah beliau lagi, Perak turut perlu memanfaatkan hubungan ekonomi dengan Selangor, Johor, Pulau Pinang dan Sarawak melalui kerjasama industri, pengkhususan pengeluaran dan pengukuhan rantaian bekalan yang saling melengkapi.

“Akhirnya, kejayaan Belanjawan Perak 2027 tidak seharusnya diukur berdasarkan saiz peruntukan, nilai pelaburan atau pertumbuhan KDNK semata-mata, tetapi sejauh mana pertumbuhan tersebut dapat diterjemahkan kepada peningkatan produktiviti, peluang pekerjaan berkualiti, pendapatan isi rumah dan kesejahteraan rakyat Perak secara berterusan,” katanya. -MG Perak

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI