JKN Perak seret individu miliki ubat kurus tidak berdaftar jenis ‘Retatrutide‘ ke mahkamah

IPOH – Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak melalui Cawangan Penguatkuasaan Farmasi telah mengambil tindakan terhadap seorang individu berhubung ubat kurus yang tidak berdaftar yang dikenali sebagai Retatrutide atau Reta.

JKN Perak dalam satu kenyataan media memaklumkan, pendakwaan terhadap individu terbabit dilakukan di Mahkamah Majistret Ipoh pada 10 November lalu.

Menurutnya, pertuduhan dibuat di bawah subperaturan 30(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 atas kesalahan memiliki produk yang tidak berdaftar.

“Tertuduh telah mengaku bersalah dan dijatuhi hukuman denda sebanyak RM10,000 atau penjara selama tiga bulan. Sebelum ini tertuduh pernah tiga kali dijatuhi hukuman bagi kesalahan serupa yang dilakukan pada tahun 2018, 2024 dan 2025.

“Pemilikan produk tidak berdaftar seperti Retatrutide adalah satu kesalahan di bawah Perenggan 7(1)(a), Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

“Bagi kesalahan pertama, pesalah yang disabitkan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

“Manakala bagi kesalahan berikutnya, hukuman yang diperuntukkan ialah denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali,” ujarnya.

JKN Perak turut menjelaskan bahawa sehingga kini, tiada produk Retatrutide yang berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) untuk kegunaan di Malaysia.

“Retatrutide adalah ubat penyiasatan yang masih menjalani kajian klinikal Fasa 3 dan belum mendapat kelulusan pemasaran daripada mana-mana pihak berkuasa regulatori di dunia.

“Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membeli, memiliki atau menggunakan produk berkenaan yang tidak mendapat kelulusan pihak berkuasa.

“Kita akan terus mempergiat pemantauan serta mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan pematuhan undang-undang, khususnya dalam usaha melindungi keselamatan dan kesihatan rakyat,” katanya.

Pada masa sama, JKN Perak juga mengingatkan semua pembekal dan pengedar ubat-ubatan di negara ini supaya mematuhi peruntukan undang-undang berkaitan pengedaran dan penjualan ubat-ubatan yang dikawal di bawah Akta Jualan Dadah 1952.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan penjualan ubat-ubatan secara tidak sah digalakkan menyalurkan aduan kepada Program Perkhidmatan Farmasi menerusi laman sesawang https://www.pharmacy.gov.my atau portal Sistem Pengurusan Aduan Agensi Awam (SisPAA) di https://moh.spab.gov.my.

“Aduan juga boleh dikemukakan kepada mana-mana Cawangan Penguatkuasaan Farmasi berhampiran atau menerusi talian 03-7841 3200 untuk tindakan lanjut,” ujarnya.

Tambahnya dalam usaha membanteras pembekalan dan penjualan ubat-ubatan yang menyalahi undang-undang, kempen ‘Tolak Ubat Tidak Sah’ atau TOBaTS turut giat dilaksanakan sejak 2024 dan maklumat lanjut boleh diperoleh menerusi https://pharmacy.moh.gov.my/tobats. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

KKM perhebat penguatkuasaan terhadap premis kesihatan tidak berlesen

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI