Ekonomi Biru Sungai Perak diperkasa, potensi pelancongan, akuakultur diteroka

IPOH – Kerajaan Negeri Perak komited memperkasa potensi ekonomi biru di sepanjang Lembangan Sungai Perak, khususnya di kawasan Kuala Kangsar dan Manong, menerusi perancangan pembangunan strategik yang mengimbangi pertumbuhan ekonomi dengan kelestarian ekosistem sungai.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pembangunan berasaskan sumber sungai itu dilaksanakan secara terancang dengan mengambil kira potensi setempat serta kepentingan Sungai Perak sebagai sumber air mentah utama negeri.

Menurutnya, pelbagai inisiatif telah dirangka menerusi Hala Tuju Ekonomi Biru Negeri Perak dan Draf Rancangan Struktur Negeri (DRSN) Perak 2040 (Kajian Semula) bagi memastikan pembangunan sektor perikanan, pelancongan dan aktiviti ekonomi berkaitan dapat dilaksanakan secara mampan.

“Pelancaran Dokumen Hala Tuju Ekonomi Biru Negeri Perak pada 23 Februari 2025 membuktikan kesungguhan kerajaan negeri menyusun strategi serta melaksanakan inisiatif berimpak tinggi bagi meneroka potensi sektor berkenaan secara berdaya saing dan berdaya tahan dengan memanfaatkan sumber sedia ada.

“Di bawah DRSN Perak 2040, jajaran Kuala Kangsar–Karai–Sauk–Sungai Perak telah dikenal pasti sebagai Koridor Pelancongan Primer yang memberi tumpuan kepada pelancongan kampung tradisi, agropelancongan, laluan rekreasi pinggiran sungai serta pameran warisan kebudayaan dan gastronomi tempatan berasaskan ikan sungai.

“Selain itu, agenda Pemodenan Akuakultur (RSA 11) turut menetapkan inisiatif bagi meningkatkan produktiviti ternakan ikan sangkar secara lebih tersusun,“ katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Berhanudin Ahmad (PN-Manong) pada Mesyuarat Ketiga, Tahun Keempat Dewan Negeri Perak Yang ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, hari ini.

Saarani berkata, dalam usaha memperkukuh kemudahan pelancongan dan rekreasi, Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Kuala Kangsar bersama Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK) sedang meneroka pembangunan fasiliti riadah, jeti rekreasi dan laluan berbasikal, selain mempromosikan produk tempatan yang bersedia menerima kunjungan pelancong.

Bagaimanapun, beliau berkata, potensi Sungai Perak yang mempunyai jajaran sepanjang kira-kira 400 kilometer itu perlu dibangunkan secara berhati-hati berikutan beberapa kekangan fizikal dan cabaran berkaitan alam sekitar.

Katanya, antara cabaran dikenal pasti ialah keadaan alur sungai yang cetek akibat pemendapan pasir serta kekurangan infrastruktur jeti yang menyukarkan pergerakan bot nelayan dan pelancong. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Air Sungai Perak bertukar biru: Perak tunggu laporan JMG, JAS sahkan punca

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI