RM1.12 juta disalur selenggara Sungai Keranji, atasi masalah banjir di Kampar

IPOH – Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perak membelanjakan sebanyak RM1.12 juta bagi kerja penyelenggaraan Sungai Keranji, Kampar sejak tahun 2022 bagi menangani masalah banjir dan hakisan sungai di daerah berkenaan.

Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin berkata, peruntukan itu digunakan antaranya untuk kerja pembersihan, pengorekan sungai serta membuang halangan yang boleh menyekat aliran air.

Katanya, kerja-kerja berkenaan turut merangkumi pengukuhan dan pembaikan struktur tebing di Kampung Orang Asli Batu Berangkai serta Jalan Wah Loong.

“Pada tahun ini, JPS melaksanakan kerja memulihkan struktur kawalan hakisan sungai di Jalan Angkasa 5 dengan kos RM41,055 menggunakan peruntukan kerja kecemasan di luar jangka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Angeline Koo Haai Yen (PH-Keranji)  dan Datuk Azman Noh (BN-Pengkalan Baharu) pada Mesyuarat Ketiga, Tahun Keempat Dewan Negeri Perak Yang ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, pada Selasa.

Mengulas perancangan penyelenggaraan sungai itu bagi tahun hadapan, Mohamad Nizar berkata, JPS negeri telah mengemukakan permohonan peruntukan sebanyak RM300,000 bagi memastikan kerja penyelenggaraan dapat dilaksanakan secara berkala.

Bagaimanapun, jelas beliau, pelaksanaan kerja-kerja berkenaan tertakluk kepada kelulusan peruntukan bagi 2027.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, JPS Perak turut mengemukakan permohonan peruntukan kerajaan Persekutuan berjumlah RM297 juta bagi pelaksanaan Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Lembangan Sungai Beruas Fasa 2, Manjung.

Menurut beliau, permohonan projek itu dikemukakan di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMKe-13), Rolling Plan 2 (RP2) Tahun 2027.

“Skop projek yang dicadangkan melibatkan pembinaan ban banjir di Sungai Beruas sepanjang 13 kilometer (km), Sungai Rotan (4 km) dan Sungai Dendang (4 km).

“Selain itu, kerja-kerja melebarkan serta mendalamkan sungai turut dicadangkan melibatkan Sungai Beruas sepanjang 22 km, Sungai Rotan (6 km) dan Sungai Dendang (5 km),” jelasnya.

Tambah Mohamad Nizar, cadangan projek berkenaan turut merangkumi pembinaan kolam takungan banjir, enam rumah pam kawalan banjir, empat pintu kawalan banjir, tiga jambatan serta sembilan lintasan atau ‘medium traffic bridge’. – MG PERAK

 

Artikel Berkaitan:

Banjir Perak: Jumlah mangsa menurun kepada 623 orang

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI