IPOH – Perak mengumumkan peruntukan sebanyak RM100,000 bagi melahirkan lebih ramai qari dan qariah di negeri ini menerusi Belanjawan Negeri 2027.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, peruntukan di bawah Program Qurra’ Negeri Perak itu disalurkan bagi melatih dan menggilap bakat muda dalam bidang tilawah al-Quran.
“Ia sebagai wadah untuk untuk mengasuh anak-anak muda secara intensif dalam bidang tilawah al-Quran, khususnya bagi melahirkan lebih ramai qari dan qariah yang mampu mengharumkan nama Perak di persada kebangsaan dan antarabangsa.
“Mudah-mudahan daripada program inilah kelak lahir suara-suara baharu yang mengalunkan kalam Ilahi dengan penuh keindahan, sekali gus menyambung legasi kecemerlangan al-Quran di bumi Perak,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Pembentangan Belanjawan Perak 2027 pada Mesyuarat Ketiga, Tahun Keempat, Dewan Negeri Perak Ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini pada Selasa.
Pada pembentangan sama, Saarani mengumumkan insentif sebanyak RM10,000 kepada qari, Cik Hasnul Taqiuddin Cik Sazali yang mengangkat nama Perak selepas dinobatkan sebagai Naib Johan Qari Peringkat Antarabangsa 2026.
Beliau berkata, insentif itu diumumkan sebagai tanda penghargaan kerajaan negeri atas kejayaan dicapai Cik Hasnul Taqiuddin yang sebelum ini meraih gelaran Johan Qari Peringkat Kebangsaan dan Negeri Perak.
“Jika tahun lalu, anak Perak, saudara Aiman Ridhwan Mohamad Ramlan, mengharumkan nama negeri apabila dinobatkan sebagai Johan Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa 2025, Alhamdulillah, sinar kecemerlangan itu terus menyala pada tahun ini,” katanya. – MG PERAK
Artikel Berkaitan:
Program tahfiz penjara Perak bantu prospek dalami al-Quran, bentuk sahsiah baharu


