IPOH – Kerajaan Negeri Perak memperuntukkan RM4.8 juta bagi tahun 2027 untuk memperkasa pembangunan wanita, kebajikan masyarakat serta meningkatkan kesejahteraan golongan rentan di negeri ini.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, peruntukan itu disalurkan kepada Sekretariat Pembangunan Wanita dan Masyarakat Negeri Perak (Wanita Perak) manakala RM1.85 juta disediakan khusus bagi pelaksanaan beberapa program pembangunan dan kebajikan.
Menurutnya, peruntukan berkenaan merangkumi RM850,000 bagi Program Pendayaupayaan Wanita dan Kebajikan Masyarakat, RM500,000 untuk Program Pembangunan dan Kebajikan Kanak-kanak dan Anak Yatim serta RM500,000 bagi kerja-kerja menaik taraf rumah kebajikan kanak-kanak dan anak yatim.
“Dalam memperluas peluang meningkatkan pendapatan, RM200,000 turut diperuntukkan bagi Program Pembolehdayaan Modal Insan dan Pembelajaran Sepanjang Hayat Perak Sejahtera 2030, merangkumi geran kemahiran, latihan keusahawanan, serta pembangunan produk.
“Sehingga September 2026, geran program ini telah menyokong kegiatan ekonomi komuniti termasuk penghasilan makanan, pastri, bakeri, kraftangan dan batik, khususnya dalam kalangan wanita, orang kurang upaya (OKU), warga emas dan keluarga berpendapatan rendah,“ katanya.
Beliau berkata demikian dalam Pembentangan Belanjawan Perak 2027 pada Mesyuarat Ketiga, Tahun Keempat, Dewan Negeri Perak Ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini pada Selasa.
Dalam aspek kebajikan warga emas pula, Saarani berkata, sebanyak RM400,000 diperuntukkan bagi Program Pembangunan Warga Emas dan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE), selain RM200,000 untuk pelaksanaan pelbagai program Rumah Aktiviti Wanita-Halaman Suri Sejahtera (SURI).
Katanya, pusat tersebut yang terletak di Jalan Jumbo Jet, di sini yang siap pada Mac lalu kini berfungsi sebagai pusat aktiviti komuniti warga emas.
“Pusat Aktiviti Suri Sejahtera itu kini beroperasi sebagai ruang latihan kemahiran, masakan dan keusahawanan asas, selain menyediakan sokongan kepada pesakit demensia tahap awal, khidmat kaunseling serta kegiatan kemasyarakatan,“ ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Belanjawan Perak 2027: Peruntukan pembangunan modal insan OKU wajar ditingkatkan


