IPOH – Kerajaan Negeri Perak digesa meningkatkan peruntukan bagi pembangunan modal insan dan program pembelajaran sepanjang hayat untuk golongan Orang Kurang Upaya (OKU) dalam Belanjawan Perak 2027 akan datang.
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Koperasi dan Pembangunan Usahawan Perak, Datuk Salbiah Mohamed, berkata pada tahun ini, kerajaan negeri telah memperuntukkan RM80,000 bagi program berkenaan yang memberi manfaat kepada lapan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), persatuan dan kumpulan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI).
Menurutnya, program pemerkasaan modal insan dan pembelajaran sepanjang hayat ini dimulakan pada 2025 melalui peruntukan Sekretariat Pembangunan Wanita dan Masyarakat Perak (Wanita Perak) di bawah portfolio beliau bagi meningkatkan kapasiti OKU dari aspek ekonomi, kemahiran dan latihan.
“Kita mengharapkan perkara itu akan mendapat perhatian kerajaan negeri sewaktu pembentangan bajet (Belanjawan Perak 2027) nanti, sekiranya dapat diperhalusi untuk bajet program pembelajaran dan pembelajaran sepanjang hayat.
“Dalam konteks yang lebih besar, kita turut mengharapkan bajet Persekutuan (Belanjawan 2027) juga dapat melihat perkara berkaitan golongan OKU ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perasmian Bulan Kesedaran Orang Kurang Upaya (OKU) Negeri Perak 2026 di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini hari ini.

Perasmian majlis itu disempurnakan isteri Menteri Besar Perak, Datin Seri Aezer Zubin, dan turut dihadiri Pengarah Wanita Perak, Jamilah Zakaria.
Salbiah menjelaskan bahawa program yang dikendalikan di bawah portfolionya itu bertujuan melengkapkan golongan OKU dengan kemahiran praktikal dan latihan vokasional bagi meningkatkan keupayaan mereka untuk berdikari dari segi ekonomi.
“Kita tengok contoh Sekolah PPKI Tasik Damai. Mereka dilatih kemahiran kulinari. Kita buat roti, kemudiannya barista. Setidak-tidaknya nanti selepas mereka habis sekolah, mungkin mereka nak jadi usahawan, mewujudkan kafe sendiri ataupun mereka bekerja.
“Selain itu, keyakinan orang untuk mengambil mereka bekerja itu lebih tinggi. Walaupun kita tetapkan satu peratus untuk mengambil golongan OKU di mana-mana jabatan dan sebagainya, tetapi sekiranya disokong dengan kemahiran yang mereka ada, ia akan mewujudkan keyakinan yang lebih tinggi dalam kalangan masyarakat untuk mengambil mereka bekerja,” ujarnya.
Tambahnya, inisiatif berkenaan turut menyokong dasar kerajaan untuk memastikan sekurang-kurangnya satu peratus jawatan dalam sektor awam diisi oleh golongan OKU. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
PASAK bantu OKU TVET cari pekerjaan sesuai mulai tahun hadapan


