Belanjawan Perak 2027: Rakyat mohon tambah laluan, tingkat kekerapan Bas Perak Sejahtera

KUALA KANGSAR – Penambahan laluan serta peningkatan kekerapan perkhidmatan Bas Perak Sejahtera, khususnya di kawasan luar bandar, menjadi antara harapan rakyat, terutama golongan warga emas agar diberikan perhatian oleh kerajaan negeri menerusi Belanjawan Perak 2027 yang bakal dibentangkan Selasa depan.

Kemudahan pengangkutan awam dengan tambang serendah RM1 sehala itu dilihat mampu meringankan beban kos perjalanan penduduk, terutama golongan berpendapatan rendah, warga emas dan pelajar yang bergantung kepada pengangkutan awam untuk melakukan urusan harian.

Perkhidmatan berkenaan bukan sahaja memudahkan penduduk mendapatkan akses ke pekan, malah penting bagi memastikan perjalanan ke sekolah, tempat kerja dan hospital tidak terjejas akibat kekurangan kemudahan pengangkutan.

Ketika ini, perkhidmatan Bas Perak Sejahtera beroperasi di enam daerah meliputi Kuala Kangsar; Larut, Matang dan Selama; Manjung; Batang Padang; Muallim serta Bagan Datuk.

Bagaimanapun, ketiadaan laluan di sesetengah kawasan dan jadual perjalanan yang kurang kerap menyebabkan penduduk, khususnya di kampung, terpaksa bergantung kepada ahli keluarga atau mengeluarkan belanja lebih untuk mendapatkan pengangkutan alternatif.

Belanjawan Perak 2027: Rakyat mohon tambah laluan, tingkat kekerapan Bas Perak Sejahtera
Orang ramai menggunakan perkhidmatan Bas Perak Sejahtera di Terminal Bas Kuala Kangsar. Foto ABDULLAH YUSOF, 21 NOVEMBER 2026.

Bagi Abdul Rani Latip, 63, dari Kampung Kelantan, masalah ketidakpastian jadual bas menyebabkan penduduk terpaksa menunggu lama, malah ada kalanya sehingga beberapa jam untuk mendapatkan perkhidmatan berkenaan.

“Pelancong yang bercuti di kawasan kampung khususnya terkandas kerana mereka tidak tahu hala tuju bas ke arah mana.

“Kerajaan negeri diharap dapat menambah baik perkhidmatan pengangkutan awam kerana warga emas seperti kami terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan bas.

Belanjawan Perak 2027: Rakyat mohon tambah laluan, tingkat kekerapan Bas Perak Sejahtera
Pengguna perkhidmatan Bas Perak Sejahtera, Abdul Rani Latip, 63, di Terminal Bas Kuala Kangsar. Foto ABDULLAH YUSOF, 21 NOVEMBER 2026.

“Saya berharap kerajaan lebih prihatin terhadap kesukaran yang dihadapi penduduk, khususnya yang tinggal di luar bandar,” katanya ketika ditemui Malaysia Gazette Perak (MG Perak) di Terminal Bas Kuala Kangsar di sini.

Sementara itu, Maznah Othman, 72, dari Kampung Kledang dekat Kota Lama Kanan berkata, ketiadaan perkhidmatan bas yang konsisten menyukarkan penduduk kampung, terutama mereka yang perlu ke pekan bagi menyelesaikan urusan penting.

Katanya, dia terpaksa membayar RM15 untuk menaiki teksi ke pekan Kuala Kangsar bagi mengambil bantuan kewangan yang diterima setiap bulan dan ini secara tidak langsung menambah beban khususnya dari segi kos pengangkutan.

“Makcik nak bas sentiasa ada macam dulu. Setengah jam, budak nak sekolah, orang nak kerja kilang, walaupun rumah makcik tepi jalan, bukan semua orang kampung kaya.

“Selain itu, makcik harap ada penambahan laluan supaya kami senang untuk pergi ke pekan,” luahnya.

Belanjawan Perak 2027: Rakyat mohon tambah laluan, tingkat kekerapan Bas Perak Sejahtera
Pengguna perkhidmatan Bas Perak Sejahtera, Maznah Othman, 72, di Terminal Bas Kuala Kangsar. Foto ABDULLAH YUSOF, 21 NOVEMBER 2026.

Dalam pada itu, Mohd Ghazali Said, 74, dari Kampar berpandangan penambahan laluan perlu disertai peningkatan jumlah bas bagi memastikan perkhidmatan dapat memenuhi keperluan penduduk.

Dia berpendapat kekerapan sedia ada perlu dinilai berdasarkan permintaan pengguna dan keadaan sebenar di sesuatu laluan.

“Setakat ini saya lihat bas dah cukup, tak perlu tambah. Saya tengok bas selalu datang setengah jam sekali, orang naik sentiasa ada. Saya tak pernah tengok bas berasak-asak naik turun.

“Tapi saya syorkan laluan bas kena tambah. Dalam usia macam ini naik kereta untuk memandu berseorangan saya tak berani. Harapkan kenderaan awam boleh jimat  dan tambang pun murah,” katanya.

Belanjawan Perak 2027: Rakyat mohon tambah laluan, tingkat kekerapan Bas Perak Sejahtera
Pengguna perkhidmatan Bas Perak Sejahtera, Mohd Ghazali Said, 74, di Terminal Bas Kuala Kangsar. Foto ABDULLAH YUSOF, 21 NOVEMBER 2026.

Justeru, peluasan liputan Bas Perak Sejahtera perlu lebih banyak kawasan luar bandar dan penambahbaikan jadual perjalanan perlu dilaksanakan mengikut keperluan setempat.

Penambahbaikan ini dilihat mampu memastikan kemudahan pengangkutan awam dapat dinikmati secara lebih menyeluruh.

Usaha itu juga penting bagi mengurangkan kebergantungan warga emas dan penduduk tanpa kenderaan sendiri kepada ahli keluarga serta memastikan mereka tidak tercicir daripada menikmati kemudahan asas akibat kekangan pengangkutan.

Pelaksanaan inisiatif Bas Perak Sejahtera adalah antara usaha kerajaan negeri dalam memperkukuh agenda Pembangunan Sosial di bawah Perak Sejahtera 2030 melalui penyediaan kemudahan pengangkutan awam yang secara tidak langsung meningkatkan kesejahteraan dan kualiti hidup rakyat.

Perkhidmatan bas henti-henti ini bukan sahaja meringankan beban perbelanjaan harian, malah memperluas akses kepada kemudahan pengangkutan awam kepada seluruh lapisan masyarakat.

Inisiatif ini mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam memastikan akses kepada perkhidmatan asas yang lebih inklusif, saksama dan menyeluruh demi kesejahteraan rakyat. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Perkhidmatan Bas Perak Sejahtera diperluas ke Bagan Datuk

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI