TAPAH – Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) diminta mengemukakan aduan rasmi kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sekiranya terdapat dakwaan pelanggaran etika kempen semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, sebarang laporan berhubung dakwaan penyalahgunaan sumber kerajaan boleh dibuat ke saluran rasmi SPR agar siasatan dapat dilakukan secara menyeluruh.
“Perkara ini diutarakan Bersih, jadi Bersih boleh melaporkan kepada SPR agar suruhanjaya itu yang buat keputusan.
“Jadi, saya tak hendak komen lebih dalam isu ini, biar SPR yang menjalankan siasatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program Seminar Keibubapaan di Sekolah Menengah Sains Tapah, dekat sini, pada Rabu.
Hadir sama, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah serta Pengurus Besar Yayasan Perak, Dr Nasreen Khanum Nawab Khan.
Pada Selasa, Bersih mendakwa berlaku pelanggaran prinsip pilihan raya oleh pihak kerajaan ketika kempen PRK DUN Ayer Kuning yang sedang berlangsung ketika ini.
Jawatankuasa Pemandu Bersih dalam satu kenyataan dilaporkan berkata, insiden itu melibatkan pengumuman bersyarat oleh Kerajaan Persekutuan menerusi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Tambah Bersih, insiden salah laku lain adalah pemberian duit raya semasa tempoh berkempen ketika program ramah mesra anjuran Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) di Tapah yang turut dihadiri Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.
Bersih turut mendakwa wujud salah laku apabila Menteri Besar Perak hadir pada program ‘Town Hall Bersama Anak Muda’ di Kompleks Sukan Tapah yang turut dihadiri calon Barisan Nasional (BN) Dr Mohamad Yusri Bakir.
Mengulas lanjut, Saarani menolak dakwaan kehadiran beliau ke program berkenaan bagi tujuan berkempen, sebaliknya memenuhi tanggungjawab sebagai Menteri Besar yang dijemput merasmikan majlis rasmi.
Kata beliau bagi calon pula, aktiviti kempen turun padang bertemu masyarakat di pelbagai lokasi bukanlah satu bentuk pelanggaran kerana matlamatnya untuk bertemu seramai mungkin pengundi.
“Bukan senang calon nak jumpa semua 31,897 orang pengundi. Mana-mana tempat yang ada orang berkumpul, di situlah calon kena pergi. Itu ruang paling mudah untuk dia jumpa pengundi,” ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
PRK Ayer Kuning: 93.4 peratus pengundi awal tunai tanggungjawab