KUALA LUMPUR – Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) menyifatkan kritikan calon Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar terhadap pelantikan semula Tan Sri Azam Baki sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai hipokrasi politik yang sudah basi.
Katanya, kenyataan anak Perdana Menteri itu dilihat tidak selari dengan perjuangan PKR dan tindakan kerajaan Madani yang diketuai bapanya sendiri.
“Perlu keberanian,” katanya. Tapi keberanian siapa? Bila keluarga sendiri di tampuk kuasa, kononnya ‘berani’ bersuara hanya selepas rakyat bising?
“Rakyat nampak semuanya politik dua wajah ini bukan sahaja menjengkelkan, ia menghina semangat reformasi sebenar yang pernah diperjuangkan dahulu,” kata parti itu menerusi kenyataan.
Tegasnya, pelantikan semula Azam Baki, individu yang masih dibayangi kontroversi, adalah satu bentuk pengkhianatan terhadap idealisme reformasi.
Selain itu MUDA berkata, ia membuktikan kerajaan hari ini memilih kestabilan politik yang selesa berbanding keberanian moral untuk berubah.
Kata MUDA lagi, sudah tentu rakyat sudah muak dengan skrip politik tua dan lama yang diulang tayang semula sebegitu.
“Menteri-menteri dan Ahli Parlimen Pakatan Harapan kini terlalu selesa, terlalu “complacent”. Janji-janji reformasi hanya tinggal poster PRU dan retorik sidang media,” katanya lagi.
Dalam masa yang sama, MUDA mempersoalkan tindakan diam seribu bahasa Timbalan Presiden PKR, Datuk Rafizi Ramli mengenai pelantikan semula itu.
“Lebih melucukan—di mana Rafizi Ramli? Timbalan Presiden PKR yang kononnya dahulu paling lantang mengejar Azam Baki pada tahun 2022, kini diam seribu bahasa.
“Ambil cuti untuk urus pemilihan parti, tapi tak mampu buka mulut tentang perlantikan Azam buat kali ketiga? Sungguh ironi. Dulu sanggup melawan, sekarang senyap bila ada kuasa. Beginikah perjuangan prinsip atau sekadar drama demi jawatan.
“Adakah ini Madani? Atau edisi politik baru Pakatan Harapan yang cuma lebih licik? Cukup
cukuplah. Rakyat bukan penonton biasa dalam teater politik kamu,” katanya lagi.
Sabtu lalu, Nurul Izzah menyuarakan ketidakpuasan hatinya terhadap pelantikan semula Azam Baki sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM untuk penggal ketiga.
Beliau menyifatkan ianya sebagai satu keputusan yang ‘tidak dialu-alukan’ danhanya akan menyukarkan usaha membawa perubahan struktur dan budaya dalam institusi penting negara.-MalaysiaGazette