KUALA LUMPUR – Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (MSOSH) menggesa semua pihak supaya tidak mengalihkan fokus kejadian kemalangan yang mengorbankan sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dengan naratif murahan.
Presiden MSOSH, Ahmad Fakhrul Anuar Ismail berkata, tragedi itu bukan sekadar insiden lalu lintas biasa, sebaliknya petanda jelas wujudnya kelompongan besar dalam keselamatan dan penyelenggaraan kenderaan operasi.
Malangnya, ujar beliau, kurang 24 jam selepas kejadian, tumpuan ramai telah dialihkan kepada sejarah peribadi pemandu.
“Fokus utama seharusnya kepada punca sebenar kemalangan – adakah sistem brek gagal? Adakah terdapat masalah teknikal yang diabaikan? Semua ini adalah tanggungjawab majikan atau pihak yang menyelenggara kenderaan.
“Bukan rekod saman yang menyebabkan tayar pecah atau brek tidak berfungsi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sehubungan itu, Ahmad Fakhrul Anuar menyeru media dan pasukan penyiasat supaya menjaga etika pelaporan dan penyiasatan dengan tidak mengheret isu lampau individu yang tiada kaitan langsung dengan kejadian.
Ujar beliau, pengamal media perlu lebih berhati-hati supaya tidak menimbulkan persepsi tidak adil, terutama sebelum hasil siasatan rasmi didedahkan.
Tambahnya, fokus penyiasatan perlu kepada sistem, prosedur dan aspek teknikal, bukan mencari kambing hitam untuk tatapan umum.
“MSOSH menegaskan bahawa keselamatan anggota hadapan negara bukan perkara remeh.
“Majikan mesti bertanggungjawab ke atas keadaan fizikal kenderaan yang digunakan. Pengabaian penyelenggaraan adalah satu kecuaian yang boleh membawa maut.
“Jangan salahkan pemandu jika sistem yang sepatutnya melindunginya gagal,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, pemandu lori yang terbabit dalam kemalangan tragis yang mengorbankan sembilan anggota FRU di Teluk Intan, Perak kelmarin, didapati mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau, termasuk kesalahan berkaitan dadah. – MalaysiaGazette