Harga beras putih diselaraskan di semua pintu gudang Bernas mulai hari ini

KUALA LUMPUR – Bermula hari ini, 15 Mei 2025, harga beras putih import (BPI) di semua pintu gudang Padiberas Nasional Berhad (Bernas) di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak akan diselaraskan kepada RM2,600 per metrik tan.

Bagaimanapun, program subsidi BPI kerajaan bagi negeri Sabah dan Sarawak masih diteruskan seperti biasa.

Dalam satu kenyataan, Bernas berkata, langkah proaktif ini mencerminkan komitmen berterusan BERNAS dalam menyokong usaha Kerajaan memastikan keterjaminan bekalan makanan negara serta mengurangkan impak kenaikan harga pasaran global.

Ia secara langsung membolehkan pengguna untuk mendapatkan bekalan beras import pada hargayang lebih rendah dan sekaligus membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat.

Pada 1 Disember 2024 Bernas telah menguatkuasakan pelarasan harga BPI di pintu gudangnya di Semenanjung Malaysia daripada RM3,000 kepada RM2,800 per metrik tan.

Malaysia masih kekal menawarkan harga BPI terendah di rantau Asia Tenggara.

Bernas memberi jaminan bekalan di negara ini adalah mencukupi untuk memenuhi keperluan pengguna.

Menurutnya, beras putih juga diimport dari negara lain seperti Vietnam, Thailand dan Myanmar bagi memastikan bekalan beras negara adalah terjamin, tanpa perlu bergantung kepada satu sumber dan dalam masa yang sama melindungi stok penimbal negara.

Sebagai pelaksana Perjanjian Konsesi dengan Kerajaan Malaysia, Bernas komited dalam melaksanakan tanggungjawabnya mengurus stok penimbal secara mampan dan memastikan ketersediaan bekalan beras di dalam negara.

Selain itu, Bernas turut menjalankan tanggungjawab sosialnya terhadap komuniti pesawah.

Susulan pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Februari lalu, Bernas telah menyalurkan peruntukan Bantuan Khas Pesawah berjumlah RM90 juta kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), selaras dengan komitmen Syarikat menyokong usaha kerajaan membela kebajikan pesawah miskin.

Peruntukan khas fasa pertama sebanyak RM60 juta disalurkan secara berperingkat kepada KPKM dan pembayaran terakhir sebanyak RM15 juta selesai sepenuhnya pada 5 Mac 2025.

Peruntukan tambahan sebanyak RM30 juta juga sudah selesai disalurkan kepada kerajaan pada 28 Mac 2025.

Peruntukan khas itu merupakan wang ihsan syarikat Bernas dan bukannya dana awam.

Bernas berkata, ia akan terus bekerjasama rapat dengan KPKM serta pemain-pemain industri, sekali gus mengukuhkan dedikasinya terhadap matlamat keterjaminan makanan negara dan kekal komited terhadap pelan tindakan jangka panjang kementerian berkenaan, dengan mengutamakan kebajikan pesawah dan menjamin kemampanan bekalan beras negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI