IPOH – Dianggarkan sekitar 50 buah rumah mengalami kerosakan susulan kejadian hujan lebat dan angin kencang yang melanda Gugusan Manjoi pada petang Sabtu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi, Mohd Hafez Sabri berkata, antara kawasan yang terjejas termasuklah Kampung Dato Ahmad Said, Kampung Dato Ahmad Said Tambahan II, Kampung Dato Ahmad Said 3, Kampung Sungai Tapah, Kampung Sungai Kati, lorong dan jalan di sekitar kawasan tersebut.
Menurutnya, beliau telah turun padang untuk melihat situasi semasa serta keadaan rumah yang rosak akibat bencana itu.
“Saya jangkakan tidak kurang 50 buah rumah yang terkena ribut. Saya sudah pusing di sekitar Gugusan Manjoi dan banyak rumah rosak malah ada rumah yang kritikal (rosak teruk),” katanya ketika dihubungi malam ini.
Beliau turut memaklumkan telah menyampaikan sumbangan peribadi bagi membantu mangsa ribut yang terlibat.
“Petang tadi saya sudah memberikan sumbangan peribadi kepada mangsa ribut disusuli borang bencana.
“Ini supaya kita dapat membuat susulan dengan Pejabat Daerah dan Pejabat Penghulu supaya setiap rumah yang dilanda ribut mendapat bantuan sewajarnya.
“Bagi rumah yang sangat teruk, InsyaAllah kita akan cuba dapatkan bantuan baik pulih rumah dan kerosakan-kerosakan yang berlaku. Mana yang kita dapat bantu masyarakat, kita akan usahakan,” ujarnya.
Mohd Hafez berkata, kejadian ribut itu antara yang terburuk berlaku di Gugusan Manjoi dan kawasan berhampiran.
“Sehingga malam ini, saya masih lagi di Gugusan Manjoi. Keadaan sangat mengejutkan dan ini antara kejadian ribut agak besar berlaku di Gugusan Manjoi,” jelasnya.
Terdahulu, tular di media sosial kejadian hujan lebat berserta angin kencang di sekitar bandar raya Ipoh termasuk di Gugusan Manjoi.
Terdapat rumah yang rosak akibat dihempap pokok serta bumbung diterbangkan angin dalam kejadian sekitar jam 5 petang itu. – MG Perak
Artikel Berkaitan: