TANJUNG MALIM – Sebuah treler hilang kawalan dipercayai menjadi punca kemalangan membabitkan lima kenderaan di Kilometer (KM) 366 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan antara Sungkai ke Slim River malam Isnin.
Timbalan Ketua Polis Daerah Muallim, Deputi Superintenden Suhaimi Muhammad berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kemalangan melibatkan sebuah treler, tiga lori (Isuzu, Mitsubishi Fuso, Volvo dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Unser sekitar jam 10.30 malam.
Menurutnya, kemalangan itu menyebabkan pemandu treler, S Rajakumar, 41, maut manakala tiga yang lain cedera di beberapa bahagian anggota badan.
“Siasatan awal di lokasi mendapati, treler yang dipandu mangsa datang dari arah Simpang Pulai menghala ke Johor Bharu.
“Ketika treler berada di lorong kiri, ia hilang kawalan dan melanggar bahagian belakang lori Isuzu menyebabkan lori itu melungsur dan melanggar bahagian belakang MPV Toyota Unser yang berada di lorong yang sama .
“Kemudian, treler tersebut melanggar belakang sisi kanan lori Mitsubishi Fuso yang berada di lorong kiri dan sisi kiri lori Volvo yang berada di lorong kanan.
“Akibat kemalangan ini pemandu treler telah tersepit dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pembantu perubatan Hospital Slim River,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, pemandu dan penumpang lori Isuzu berusia 29 tahun masing-masing mengalami kecederaan bengkak kaki kiri dan patah tangan kiri.
“Pemandu lori Mitsubishi Fuso yang berusia 36 tahun retak di bahagian tulang leher. Bagaimanapun, pemandu MPV Toyota Unser dan pemandu lori Volvo tidak mengalami sebarang kecederaan,” ujarnya.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MG Perak
Artikel Berkaitan: