IPOH – Tiga cedera dalam nahas membabitkan tiga kenderaan di Jalan Sultan Nazrin Shah, Kampung Kepayang di sini awal pagi Rabu.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan itu sekitar jam 6.05 pagi.
Menurutnya, sejurus menerima panggilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gopeng dan Simpang Pulai digerakkan ke lokasi kejadian.
“Kemalangan tersebut melibatkan 3 buah kenderaan iaitu lori kurier tiga tan, kenderaan pelbagai guna (MPV) Produa Aruz dan kereta Proton Wira.
“Dua orang mangsa telah dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pihak bomba.
“Pemandu lori dan kereta Proton Wira masing-masing berusia 27 dan 31 tahun mengalami kecederaan manakala wanita berusia 41 tahun yang menaiki Perodua Aruz patah kaki akibat tersepit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, ketua operasi segera menjalankan penilaian situasi dan mengaplikasikan konsep SAVER atau Pendekatan Sistem Untuk Menyelamat Mangsa Terperangkap dan mengarahkan anggota untuk mengeluarkan wanita yang tersepit dalam Perodua Aruz menggunakan peralatan hidraulik.
“Mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak KKM (Kementerian Kesihatan) untuk tindakan lanjut dan operasi tamat jam 7.14 pagi,” jelasnya – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Pemandu treler maut nahas empat kenderaan