Sinar Harian perjelas punca, gantung tugas kakitangan terlibat kesilapan infografik KPN

KUALA LUMPUR – Organisasi media, Sinar Harian menggantung sementara tugas kakitangan dan penyelia Unit Media Sosial yang meluluskan infografik salah melibatkan Ketua Polis Negara (KPN) baharu, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail.

Akhbar itu dalam kenyataan hari ini memaklumkan, pihaknya turut membuat laporan polis bagi memaklumkan insiden tersebut dan memberikan ruang kepada polis untuk menjalankan siasatan lanjut sekiranya perlu.

Dalam masa sama, jelasnya, Sinar Harian juga sedang menjalankan siasatan dalaman untuk mengenal pasti sekiranya terdapat unsur sabotaj.

Menjelaskan berhubung kesilapan itu, ujarnya, semakan awal mendapati kesilapan tersebut berpunca daripada tindakan seorang staf di Unit Media Sosial yang telah menggunakan template reka bentuk lama yang pernah digunakan dalam poster melibatkan Tan Sri Johari Abdul sebelum ini.

“Pihak kami mengakui berlaku kesilapan dalam penyiaran infografik tersebut dan sekali lagi memohon maaf kepada Ketua Polis Negara, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan seluruh masyarakat atas kekhilafan ini,” katanya.

Sementara itu, tambahnya, Sinar Harian memandang serius perkara tersebut dan akan terus mengambil langkah penambahbaikan bagi memastikan kawalan kualiti dan prosedur editorial diperkemaskan, demi menjamin ketepatan dan kredibiliti maklumat yang disampaikan kepada masyarakat.

Terdahulu, Sinar Harian dikecam banyak pihak susulan kesilapan menerbitkan infografik yang mengaitkan penyertaan Mohd Khalid dalam parti politik termasuk Parti Keadilan Rakyat (PKR) sehingga menimbulkan kekeliruan dalam kalangan orang ramai.

Berikutan itu, Setiausaha Agung PKR, Dr Fuziah Salleh turut mengesahkan Mohd Khalid tidak pernah menjadi ahli PKR apatah lagi memegang sebarang jawatan dalam parti berkenaan.

Sinar Harian menerusi portal berita mereka sebelum ini juga sudah mengemukakan permohonan maaf secara terbuka atas kesilapan maklumat yang disiarkan di laman Instagram mereka. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI