Perak kaji wujud koridor khas tangani konflik haiwan liar di Sungai Siput dan Hulu Perak

TAIPING – Daerah Sungai Siput dan Hulu Perak antara lokasi yang dikenal pasti bersesuaian untuk dijadikan koridor khas serta penyediaan bank makanan bagi meminimumkan konflik antara manusia dengan haiwan liar di kedua-dua kawasan berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri Teh Kok Lim berkata buat masa ini, kerajaan negeri bersama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak masih menjalankan kajian secara menyeluruh memandangkan kawasan itu adalah zon konflik hidupan liar, khususnya gajah serta harimau belang.

“Ini antara langkah mitigasi yang kami sedang usahakan bersama pihak Perhilitan bagi memastikan konflik yang berlaku antara manusia dan haiwan liar di kedua-dua kawasan dapat dikurangkan.

“Pengurusan yang betul amat penting bagi memastikan hidupan liar ini terus terpelihara daripada sebarang ancaman manakala aktiviti pertanian serta penternakan dapat dijalankan secara teratur tanpa masalah besar,” katanya ketika ditemui Bernama selepas menghadiri Program The Heritage Ride Taiping 2026 di sini hari ini.

Pada 15 Okt lepas, Bernama melaporkan 12 pekebun di Bukit Bangkong, Chemor merayu pihak berkuasa mengambil tindakan segera bagi menangani masalah gajah liar yang menjejaskan kira-kira 9.7 hektar kawasan pertanian mereka.

Masalah sama turut menjejaskan 25 pekebun di Kampung Perlop 1, Sungai Siput yang mengusahakan tanaman kelapa sawit dan buah-buahan di kawasan seluas 101 hektar sejak awal Sept lepas.

Teh ketika mengulas dakwaan penerokaan atau pembersihan kawasan hutan menyebabkan konflik itu terus berlaku berkata pengeluaran hasil hutan di Perak sentiasa dikawal selia mengikut kaedah pengurusan mampan serta garis panduan pematuhan yang ketat.

“Kami akui sedikit sebanyak ada berlaku penerokaan hutan secara haram, namun pihak kerajaan negeri berserta agensi penguat kuasa sentiasa mengambil tindakan tegas dan pemantauan berterusan bagi membendung aktiviti berkenaan daripada menjejaskan habitat hidupan liar,” katanya.

Selain itu, beliau berkata pihaknya berharap mana-mana peladang, pekebun dan penternak yang berdepan serangan atau pencerobohan haiwan liar supaya melaporkannya kepada Perhilitan Perak.

“Selain tindakan susulan, para peladang, pekebun atau penternak juga boleh memohon Bantuan Kerosakan Harta dan Tanaman bagi menampung sedikit sebanyak kerosakan yang dialami,” katanya.

— BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI