LUMUT – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) merampas 80 unit bubu naga selepas menahan sebuah bot pukat hanyut dalam rondaan rutin di perairan Negeri Perak, pada Jumaat.
Bot tempatan itu ditahan selepas pasukan penguat kuasa mengesan pergerakan mencurigan pada kedudukan kira-kira di 2.3 batu nautika barat laut Pulau Talang, dekat sini.
Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata, penahanan dibuat selepas pihaknya mendapati terdapat penggunaan peralatan menangkap ikan yang tidak sah di bot tersebut.
“Hasil pemeriksaan mendapati, bot itu dikendalikan oleh seorang tekong tempatan, manakala tiga awak-awak warga Myanmar yang turut berada di atas bot disyaki tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan sah.
“Pemilik bot boleh didakwa di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985, yang memperuntukkan hukuman denda hingga RM20,000 atau penjara sehingga dua tahun
atau kedua-duanya.
“Manakala awak-awak bot terbabit akan disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63,” katanya dalam satu kenyataan, pada Sabtu.
Mohamad Shukri berkata, susulan daripada itu pihaknya menahan kesemua kru serta merampas semua peralatan menangkap ikan dan hasil laut untuk siasatan lanjut.
Menurut beliau, tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar undang-undang dan menjejaskan sumber hasil laut negara.
“Orang ramai boleh menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti jenayah maritim melalui talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di talian 05-683 2254,” katanya lagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan: