LUMUT – Sebuah bot nelayan tempatan ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) selepas didapati menjalankan aktiviti perikanan di kawasan larangan di sini, pada Sabtu.
Bot itu ditahan selepas pasukan penguat kuasa melakukan rondaan rutin sekitar jam 12.15 tengah hari di kedudukan 10.9 batu nautika barat daya dari Pulau Buluh.
Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata, hasil siasatan lanjut mendapati bot terbabit telah melanggar syarat sah lesen iaitu menjalankan aktiviti perikanan di kawasan yang tidak dibenarkan.
Katanya, selain itu pemeriksaan juga mendapati seorang tekong dan empat awak-awak warga Myanmar berada di atas bot tersebut.
“Kesemua mereka disyaki mempunyai dokumen pengenalan diri yang meragukan dan tiada permit kerja yang sah.
“Justeru, bot bersama kru, peralatan menangkap ikan dan hasil laut telah dibawa ke Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kampung Acheh untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat bagi siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, pada Ahad.
Mohamad Shukri berkata, susulan itu pihaknya menjalankan siasat terhadap kes berkenaan di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63.
“Maritim Malaysia akan terus melaksanakan tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang dan menjejaskan sumber perikanan negara,” katanya lagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan: