KUALA LUMPUR – Malaysia buat kali kedua berturut-turut berjaya melakar kejayaan di peringkat antarabangsa apabila Institut Penyelidikan Hutan Malaysia, Taman Hutan Selangor (Forest Research Institute Malaysia Forest Park Selangor; FRIM FPS) secara rasminya telah disenaraikan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.
Keputusan penyenaraian ini telah diumumkan semasa sesi 47th World Heritage Committee yang berlangsung pada 6 hingga 16 Julai 2025 di Ibu Pejabat UNESCO Paris, Perancis, kata Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
Pengiktirafan tertinggi di peringkat dunia ini telah diputuskan oleh 21 ahli Negara Anggota World Heritage Committee yang dipengerusikan oleh Prof. Nikolay Nenov dari Bulgaria.
Usaha persediaan pencalonan tapak ini telah bermula sejak tahun 2013.
FRIM FPS merupakan tapak yang istimewa dan menjadi salah satu inisiatif terawal pemulihan ekosistem hutan tropika berskala besar melalui penanaman semula pokok di bekas kawasan perlombongan bijih timah.
Usaha ini telah menetapkan penanda aras antarabangsa melalui kejayaan penghasilan satu ekosistem yang hampir menyamai hutan hujan tropika semula jadi, lengkap dengan kepelbagaian spesies pokok yang tinggi serta kaya dengan komposisi biodiversiti.
Dengan kejayaan ini, Malaysia secara keseluruhan telah berjaya menyenaraikan enam Tapak Warisan Dunia UNESCO.
Penyenaraian sebelum ini terdiri daripada Taman Kinabalu (2000), Taman Negara Gunung Mulu (2000), Bandar Bersejarah Selat Melaka, Melaka dan George Town (2008), Warisan Arkeologi Lembah Lenggong (2012) dan Warisan Arkeologi Kompleks Gua Taman Negara Niah (2024).
MOTAC menyifatkan kejayaan ini membuktikan komitmen berterusan negara dalam melindungi dan memelihara tapak semula jadi dan budaya yang mempunyai nilai sejagat luar biasa.
Pengiktirafan ini juga secara tidak langsung akan meningkatkan visibiliti Malaysia di mata dunia.
Sehingga kini, sejumlah 1,223 tapak dari seluruh dunia telah berjaya diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia bawah 1972 Convention Concerning the Protection of the World Cultural and Natural Heritage.
“MOTAC merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak atas sokongan padu serta kerjasama erat yang telah diberikan dalam menjayakan pencalonan ini, terutama jabatan serta agensi Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Selangor.
“Ucapan terima kasih turut diberikan kepada Kementerian Luar Negeri dan Kementerian Pendidikan Malaysia melalui Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia (SKUM) serta Pejabat Delegasi Tetap Malaysia ke UNESCO di Paris atas peranan dalam meraihkan sokongan pencalonan FRIM FPS di peringkat antarabangsa,” katanya.
MOTAC juga optimis pengikirafan ini akan menyuntik nilai tambah yang signifikan kepada FRIM FPS sebagai salah satu produk pelancongan utama di Negeri Selangor selaras dengan pelaksanaaan Visit Malaysia 2026 dan Tahun Melawat Selangor 2025.
“Kejayaan ini diharap dapat meningkatkan kedatangan pelancong luar negara ke Malaysia, sekali gus menyumbang penjanaan ekomoni Malaysia khususnya komuniti setempat,” ujarnya. – MalaysiaGazette