TERLETAK di tengah-tengah bandar Taiping, Muzium Perak menjadi saksi bisu dan simbol kepada perkembangan sejarah, ilmu serta budaya sejak lebih daripada satu abad.
Bangunan yang dibina pada tahun 1883 dengan seni bina masyarakat ‘moor’ di India serta ‘neo-classical’ dan ‘victorian’ masyarakat Eropah itu merupakan muzium pertama yang ditubuhkan di Malaysia.
Pengarah Muzium Perak, Mohd Nasrulamiazam Mohd Nasir berkata, ia kini dibangunkan dengan tujuan sebagai pusat pusat sehentian pelancongan pendidikan serta rujukan bagi penyelidikan warisan, sejarah, budaya dan alam semula jadi.
Dibina pada tahun 1883 hasil idea oleh Residen British Ketiga di Negeri Perak, Sir Hugh Low, muzium itu merupakan muzium pertama yang diwujudkan di negara ini. Foto ABDULLAH YUSOF, 07 JULAI 2025.
Katanya, antara tarikan utama di Muzium Perak adalah pameran taksidermi iaitu spesimen haiwan yang diawet dan dipamerkan kepada umum yang antaranya berusia ratusan tahun.
“Pada 28 Mei 1897, Muzium Perak telah mendapatkan khidmat Erasmus John Keilich iaitu pakar taksidermi dari England untuk mendapatkan bahan pameran haiwan-haiwan yang diawet.
“Selain bahan artifak taksidermi yang dipamerkan termasuk kambing gurun, seladang, koleksi ikan, harimau, buaya, dan tengkorak gajah jantan,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Menyingkap tentang sejarah muzium Mohd Nasrulamiazam berkata, Muzium Perak ditubuhkan Residen British, Sir Hugh Low yang pada awalnya sebagai pusat penyelidikan dan pengumpulan bahan sejarah, budaya dan alam semula jadi di Tanah Melayu ketika itu.
Kata beliau, seorang ahli botani dan geologi, Leonard Wray Jr kemudian dilantik mengendalikan muzium berkenaan dengan mengumpulkan spesimen alam semula jadi sebagai koleksi awal di Muzium Perak.
Menurut beliau lagi, pada era seterusnya, ahli antropologi Barat, Ivor Hugh Norman Evans atau I. H. N. Evans, kemudian memperbanyakkan bahan koleksi di Muzium Perak kepada aspek etnologi, arkeologi, dan budaya masyarakat Melayu serta Orang Asli.
Mohd Nasrulamiazam berkata, kesemua koleksi ini kemudian menjadi asas kepada banyak penerbitan ilmiah termasuk ‘Federated Museums Journal’ dan ‘Perak Museum Notes’ yang masih dirujuk oleh para sarjana tempatan dan antarabangsa sehingga ke hari ini.
“Dasar polisi kolonial ketika itu lebih menumpukan kepada sejarah dan kebudayaan di semua tanah jajahan mereka.
“Mereka melihat Tanah Melayu ini kaya dengan sumber alam semula jadi, arkeologi, di samping hubungan masyarakat tempatan dengan masyarakat India dan Cina,” ujarnya.
Mohd Nasrulamiazam berkata, Muzium Perak terdiri daripada tiga galeri utama iaitu Galeri Alam Semula Jadi, Galeri Pameran Kebudayan dan Galeri Orang Asli, di samping dua lagi galeri iatu Galeri Pameran Sementara dan Pameran Luar.
Kata beliau, muzium itu juga turut menyimpan pelbagai jenis senjata alam Melayu Nusantara seperti keris dan sundang yang antaranya merupakan koleksi daripada pengkaji Inggeris, Gerald Brosseau Gardner.
“Antara koleksi unik lain yang disimpan di Muzium Perak adalah tabung damak masyarakat Orang Asli dan hasil-hasil ekskavasi yang diperoleh daripada Evans.
“Di samping itu turut dipamerkan koleksi peralatan cutam iaitu hasil pertukangan perak yang merupakan hadiah peribadi Residen British Sir Frank Swettenham dan Raja Negara Siam (kini Thailand), Raja Chulalongkorn.
“Walau bagaimanapun, masih banyak koleksi kami tidak dapat dipamerkan sepenuhnya kerana kekangan ruang. Namun, lazimnya ia akan dipamerkan ke Galeri Pameran Sementara menerusi pameran bertema,” ujarnya.
Pameran Naga: Imej dalam Budaya Material
Dalam usaha memperbanyakkan maklumat tentang kebudayaan dan sejarah, Muzium Perak membawakan Pameran Naga: Imej Dalam Budaya Material di Galeri Pameran Sementara sepanjang tahun ini sehingga April 2026.
Menurut Mohd Nasrulamiazam, pameran itu mengangkat tema naga sebagai salah satu lambang berpengaruh dalam budaya material merentasi tamadun dunia sejak zaman Mesopotamia, termasuk di Asia.
“Pameran Naga menampilkan pelbagai artifak yang memaparkan imej naga dalam budaya material seperti ukiran kayu, tekstil, arca, seramik, logam dan sebagainya dari pelbagai budaya masyarakat di Asia Tenggara.
“Antara koleksi unik adalah ukiran kayu naga Mah Meri yang menjadi kepercayaan kepada Masyarakat Orang Asli suku Mah Meri yang mendiami di sekitar Pulau Carey di Selangor.
“Di samping itu, turut terdapat di muzium adalah artifak ukiran ‘Makara’ yang dihasilkan sekitar abad ke-14 pada zaman Kerajaan Sukhothai di Thailand. Makara mempunyai rupa naga yang berjanggut dan biasanya dikaitkan dengan air sebagai sumber kuasa,” katanya lagi.
Jelas Mohd Nasrulamiazam, naga dipilih sebagai tema pameran adalah sebagai usaha Muzium Perak dalam memberi kefahaman kepada masyarakat tentang persamaan budaya yang merentasi pelbagai latar belakang kaum.
“Naga dipaparkan dalam konsep berbilang bangsa, yang mana ia ada dalam pengaruh budaya masyarakat Melayu, Orang Asli, India, Cina dan etknik di kepulauan Borneo. Setiap daripada kita mempunyai budaya hampir sama, cuma ia diterjemah melalui motif berbeza.
“Justeru ini secara tidak langsung memberi kefahaman lanjut kepada masyarakat khususnya generasi muda dalam memahami semangat perpaduan dalam negara,” katanya lagi.
Usaha yang digerakkan Muzium Perak ini selaras dengan aspirasi Pelan Perak Sejahtera 2030 di bawah salah satu Tumpuan Daerah di Larut Matang dan Selama iaitu Pelancongan Warisan @ Taiping. – MG Perak
Artikel Berkaitan: