IPOH – Persatuan Alumni Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Raja Perempuan (Alumni RPSian) bakal menganjurkan perjumpaan semula bekas pelajar menerusi program
Reunion Hi-Tea ‘Sirih Pulang ke Gagang’, di Hotel Casuarina@Meru, dekat sini, pada 6 September depan.
Program yang dijadualkan bermula dari jam 3 hingga 6 petang itu merupakan program ‘reunion’ kali kedua sejak alumni ditubuhkan secara rasmi pada tahun 2020, dan menjadi platform untuk mengumpulkan kembali kesemua bekas pelajar sekolah.
Presiden Alumni RPSian, Dr. Rosnah Idrus berkata, meskipun persatuan itu masih muda, pihaknya optimis program jamuan minum petang itu mampu meraih penyertaan lebih ramai berbanding penganjuran tahun lalu.
“Pada penganjuran program reunion kali pertama pada tahun lalu, ia dihadiri sekitar 30 hingga 35 peserta hadir, tetapi kali ini kami mensasarkan penyertaan sehingga 300 orang.
“Selain merapatkan silaturahim, majlis ini juga sebahagian usaha merekrut lebih ramai ahli untuk mengukuhkan gerakan alumni,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Reunion Hi-Tea: Sirih Pulang ke Gagang anjuran Alumni RPSian di Restoran Mali Sate dan Such dekat sini.
Dr. Rosnah berkata, sejak lebih daripada 70 tahun penubuhannya, SMK Raja Perempuan telah melahirkan ramai wanita yang berjaya dalam pelbagai bidang, seperti perniagaan, sukan, seni dan sebagainya.
Justeru kata beliau, jaringan alumni yang aktif diyakini mampu menyumbang semula kepada sekolah dan pembentukan generasi baharu yang lebih baik, secara umumnya.
“Matlamat utama kami adalah membina jaringan kukuh dalam kalangan bekas pelajar supaya dapat memberi manfaat bukan sahaja kepada ahli, tetapi juga kepada sekolah dan masyarakat,” jelas beliau.
Beliau menambah, antara kelainan pada penganjuran program kali ini adalah penglibatan enam bekas pengetua sekolah, sebagai tanda penghargaan alumni terhadap jasa mereka.
Malah kata beliau, setakat ini bekas pelajar yang telah mengesahkan kehadiran terdiri daripada mereka yang berusia antara 19 sehingga 72 tahun.
Pada masa sama, Dr. Rosnah berharap usaha yang dijalankan itu dapat menambah bilangan keahlian agar membolehkan lebih banyak program kebajikan dilaksanakan.
“Setakat ini kita kenakan yuran tahunan RM30 atau seumur hidup RM250. Ahli tertua pernah mendaftar ialah lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 1967.
“Kami berharap lebih ramai bekas pelajar tampil menyertai, kerana semakin ramai ahli, semakin kuat alumni bergerak,” jelasnya lagi.
Bekas pelajar yang berminat untuk menyertai Program Reunion Hi-Tea ‘Sirih Pulang ke Gagang’ boleh membuat tempahan tiket bernilai RM100 setiap seorang.
Tempahan boleh dibuat menerusi akaun Facebook ‘Alumni RPAsian’ atau menghubungi nombor telefon di talian 011-58555717 atau 016-5315602 untuk maklumat lanjut serta pengesahan kehadiran. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Anjur majlis amal RPSian Hi-Tea untuk dana sekolah