IPOH – Seorang pemandu jengkaut maut selepas tertimbus runtuhan tanah ketika sedang melakukan kerja-kerja pengorekan di lereng bukit di sebuah tapak kuari di Keramat Pulai, di Simpang Pulai, dekat sini, pada Isnin.
Lelaki warga emas berusia 60 tahun itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas ditemukan tersepit di dalam jentera berat itu.
Pemangku Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Shazlean Mohd Hanafiah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai insiden itu pada jam 1.52 petang.
Katanya, enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simpang Pulai kemudian diatur gerak ke lokasi kejadian bagi operasi mencari dan mengeluarkan mangsa daripada runtuhan tanah.
“Setibanya pasukan bomba di tempat kejadian, didapati sebahagian tanah telah menimbus pada ruangan pemandu dan mengakibatkan mangsa tidak dapat dikeluarkan sepenuhnya.
“Bantuan jengkaut yang lain digunakan bagi mengalihkan tanah yang menimbus jengkaut tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, pada Isnin.
Menurut beliau, selepas mangsa berjaya dibawa keluar dari bangkai jengkaut dan runtuhan tanah, pasukan bomba kemudian memberikan rawatan awal kepada warga emas terbabit.
Kata Shazlean, bagaimanapun lelaki itu tidak memberi sebarang tindak balas sebelum disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan (KKM).
“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” ujar beliau.
Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK), Mohd Nafis Nazmi itu tamat pada jam 3.20 petang. – MG Perak
Artikel Berkaitan: