SUNGAI SIPUT – Kerajaan Negeri Perak menekankan usaha memperkasakan segmen pelancongan sukan atau ‘sport tourism’ sebagai antara strategi utama dalam menyambut kempen Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026.
Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee berkata, pelbagai acara berteraskan sukan akan dan sedang dilaksanakan di negeri ini agar ia dapat menggamit lebih ramai kehadiran pelancong dari dalam mahupun luar negara.
Katanya, penganjuran acara-acara sukan pada sepanjang tahun tidak pernah berhenti di Perak kerana ia merupakan salah satu fokus utama kerajaan negeri dalam membangunkan sektor pelancongan.
“Penganjuran acara sukan memang menjadi salah satu tumpuan kita, dan ia dapat dilihat kepada acara seperti Malaysia Ultra Trail, Rimba Raid Lenggong dan sebagainya.
“Selain itu terdapat juga pelbagai acara lain (yang sering mendapat sambutan baik) adalah Rimba Raid Lenggong, Malaysia Ultra Trail dan sebagainya, Kebanyakkan acara tahunan ini juga dianjurkan sama ada di peringkat antarabangsa atau kebangsaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Kejohanan Tomoi Terbuka Negeri Perak ‘Kami Anak Malaysia’ di sini, pada Sabtu.
Hadir sama, Presiden Persatuan Tomoi Perak, Mohd Ezry A’Zamin Abd Wahab; Pengerusi MAYC Negeri Perak; Muhammad Naim Al Amin Saharudin serta, Pegawai Khas kepada Menteri Besar Perak, Ahmad Saidi Mohamad Daud.
Acara yang berlangsung selama dua hari sehingga Ahad itu disertai 120 peserta dari seluruh negara melibatkan pelbagai kategori termasuk peserta wanita.
Tambah Sze Yee, penganjuran acara sukan juga mampu memberi nilai tambah kepada pelancongan Perak apabila para peserta berpeluang untuk melihat sendiri keunikan serta kepelbagaian budaya dan warisan masyarakat di negeri ini.
“Sudah tentunya, kita berasa bangga apabila Perak telah dinobatkan oleh sebagai negeri pelancong domestik paling popular pada tahun lalu.
“Jadi apa yang kita harapkan, semasa Tahun Melawat Malaysia nanti, Perak dapat menyumbang kepada angka pelancong yang datang ke Malaysia.
“Salah satu segemen pelancongan yang kita beri tumpuan adalah ‘sport tourism’ di samping pelbagai keunikan budaya yang akan kita ketengahkan di Negeri Perak,” katanya lagi.
Mengulas tentang program, Sze Yee yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jalong berkata, Kejohanan Tomoi Terbuka Negeri Perak merupakan sebahagian daripada sambutan Bulan Kebangsaan berlangsung di sekitar Sungai Siput.
“Selepas ini kita mempunyai acara seterusnya dan diakhiri dengan pesta tanglung pada hujung bulan ini. Jadi semua ini adalah usaha untuk mempromosikan kepelbagaian budaya yang terdapat di Perak, dan Sungai Siput khususnya,” jelas beliau. – MG Perak
Artikel Berkaitan: