IPOH – Seorang pengusaha stesen minyak di Ayer Tawar, Manjung didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen Ipoh, pada Isnin selepas mengaku bersalah menjual diesel bersubsidi melebihi had yang dibenarkan kepada seorang pemandu lori, pada Februari tahun lalu.
Hakim Ainul Shahrin Mohamad menjatuhkan hukuman itu ke atas Chew Jo Seng, 30, selaku orang kena saman (OKS) dan sekiranya gagal membayar denda, dia boleh dihukum penjara 12 bulan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh gagal mematuhi Larangan Dan Kawalan Penjualan Petrol Dan Diesel Oleh Pemegang Lesen Runcit Bagi Pengusaha Stesen Minyak, yang menyatakan kebenaran untuk menjual diesel kepada kenderaan bernombor pendaftaran Malaysia tidak melebihi 250 liter dengan sekali transaksi ke dalam tangki asal.
Dia sebagai Pengarah Syarikat Caltex Ayer Tawar Service Station Sdn Bhd didakwa telah menjual minyak diesel sebanyak 1,395.348 liter yang diisi ke dalam tangki tambahan sebuah lori.
Kesalahan itu dilakukan di Stesen Minyak Caltex, di Jalan Sitiawan, Ayer Tawar dalam daerah Manjung kira-kira jam 9 pagi, pada 1 Februari 2024.
Tertuduh didakwa melanggar kesalahan Peraturan 12A Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 22(1) Akta Kawalan Bekalan 1961, dan jika sabit kesalahan dia boleh didenda RM1 juta atau dipenjara sehingga tiga tahun.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Fadhli Ab Wahab, Mohamad Nazreen Zabarudin dan Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Muhamad Hanif Abd Azis, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu ketika rayuan Jo Seng meminta mahkamah mengenakan denda minimal kerana dia yang masih bujang perlu menanggung kedua ibu bapa serta bayaran bulanan sebuah rumah.
Mengikut fakta kes, sepasukan anggota KPDN Cawangan Manjung telah membuat pemeriksaan berhubung aktiviti penyelewengan barang kawalan minyak diesel di sebuah stesen minyak di Jalan Sitiawan, Ayer Tawar, pada Februari lalu.
Hasil pemeriksaan pihak KPDN mengesan seorang pemandu lori berusia 46 tahun yang didapati membuat pengisian bahan api itu ke dalam kenderaanya di stesen minyak berkenaan secara berulang.
Diesel tersebut telah diisi ke dalam tangki tambahan sebanyak 1,395.348 liter dengan bayaran RM3,000 menerusi lima kali pengisian secara berulang antara jam 6.40 pagi sehingga 8.30 pagi pada 1 Februari 2024.
Jo Seng, yang merupakan salah seorang daripada empat pengarah syarikat stesen minyak terbabit didapati individu yang bertanggungjawab melanggar Peraturan 12A Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 pada hari kejadian. – MG Perak
Artikel Berkaitan: