TANJUNG MALIM – Seramai 11 orang pekerja sebuah kilang di Bandar Proton (Proton City) mengalami sesak nafas dan pedih mata selepas berlaku kejadian tumpahan bahan kimia sebanyak 15 liter di sini pada Khamis.
Pemangku Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Shazlean Mohd Hanafiah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 12.42 tengah hari.
Menurutnya, sejurus menerima panggilan itu, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjung Malim digerakkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi kita mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada kebocoran pada sistem paip di premis berkenaan yang mengakibatkan tumpahan bahan kimia jenis isocyanates dianggarkan sebanyak 15 liter.
“Kesemua 11 mangsa yang terlibat mengalami simptom sesak nafas dan pedih mata dan mereka telah dihantar ke klinik berhampiran sebelum pasukan bomba tiba di lokasi,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, susulan kejadian itu, pihaknya telah berhubung dengan Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) untuk mendapatkan panduan serta prosedur kerja-kerja pembersihan.
“Kebocoran pada sistem paip telah berjaya ditutup, dan kerja-kerja pembersihan tumpahan kimia dijalankan menggunakan pasir mengikut prosedur keselamatan yang ditetapkan,” ujarnya.
Katanya, operasi pembersihan dan pemantauan di lokasi masih dijalankan sehingga keadaan disahkan selamat sepenuhnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Pemandu van penghantaran didenda RM8,000, sebabkan kemalangan tujuh kenderaan