KUALA LUMPUR – MIC menyambut baik pembentangan Bajet 2026 yang disifatkannya sebagai inklusif, berdisiplin dan berpaksikan rakyat selain mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap kesejahteraan semua lapisan masyarakat.
Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran berkata, pendekatan kerajaan dalam merangka Bajet 2026 membuktikan komitmen kukuh untuk menyeimbangkan pertumbuhan ekonomi dengan tanggungjawab sosial, di samping memperkukuh kesejahteraan rakyat pasca pandemik dan memperkukuh daya tahan fiskal negara.
“Bajet ini adalah bukti kerajaan mendengar suara rakyat. Ia bukan sahaja bersifat menyeluruh dan inklusif, tetapi juga menunjukkan kebertanggungjawaban dalam memastikan pembangunan negara disertai kesejahteraan sosial,” katanya dalam kenyataan.
Vigneswaran turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri atas peningkatan ketara bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang kini mencecah lebih RM1 bilion berbanding RM600 juta pada tahun 2022.
“Langkah ini jelas menunjukkan keprihatinan kerajaan dalam memperkukuh jaringan keselamatan sosial, khususnya untuk isi rumah berpendapatan rendah. Ia secara langsung membantu mengurangkan tekanan kos sara hidup rakyat,” ujarnya.
Beliau juga menzahirkan penghargaan terhadap tumpuan kerajaan kepada komuniti India, termasuk peningkatan jaminan pinjaman perumahan (SJKP) kepada RM1.9 bilion serta peruntukan RM220 juta di bawah MITRA, TEKUN dan AIM bagi memperkasakan sosioekonomi masyarakat India.
“Langkah-langkah ini diyakini mampu memperkukuh semangat keusahawanan dan membina daya tahan ekonomi dalam kalangan komuniti India yang terus memainkan peranan penting dalam sektor perniagaan dan pembangunan negara,” jelasnya.
Selain itu, beliau turut memuji usaha kerajaan memperkukuh sektor pendidikan dan pembangunan kemahiran melalui pelaksanaan Program Antibuli Sekolah (SAFE) oleh Kementerian Pendidikan Malaysia, peningkatan peruntukan TVET kepada RM7.9 bilion termasuk latihan dalam bidang kecerdasan buatan (AI) dan semikonduktor untuk pelajar serta belia.
Tidak lupa juga dengan pelaksanaan semula Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 2026.
“Usaha ini amat dialu-alukan kerana ia akan melahirkan generasi muda yang berdisiplin, berkemahiran tinggi dan berdaya saing di peringkat global,” tambahnya.
Vigneswaran turut menyambut baik komitmen kerajaan dalam memperkukuh ekosistem perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta memperluas kemudahan pembiayaan kepada usahawan tempatan dengan jumlah keseluruhan pinjaman dan jaminan kerajaan yang meningkat kepada RM50 bilion pada tahun hadapan.
“Bajet 2026 bukan sekadar dokumen kewangan, tetapi satu pelan hala tuju pembangunan nasional yang berpaksikan rakyat, tanggungjawab fiskal dan masa depan ekonomi negara yang mampan,” katanya.
Beliau menegaskan MIC akan terus menjadi rakan strategik kepada kerajaan dalam memastikan agenda pembangunan inklusif dan kemakmuran bersama dapat direalisasikan, sejajar dengan aspirasi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) menuju ke arah negara yang maju, sejahtera dan mampan. -MalaysiaGazette