IPOH – Kerajaan Negeri Perak menyambut baik Memorandum Persefahaman (MoU) berkaitan sumber mineral kritikal atau nadir bumi penting yang ditandatangani antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) pada Ahad.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, perkara itu disifatkan sebagai berita gembira khususnya buat negeri-negeri pengeluar sumber bahan mineral unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE).

“Perkhabaran ini sangat menggembirakan negeri-negeri pengeluar NR-REE kerana urusan berkaitan sumber mineral itu akan menjadi lebih mudah dan mesra.
“Ia secara tidak langsung akan merancakkan lagi perdagangan antarabangsa melibatkan NR-REE khususnya dengan negara AS,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Makmal Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) Zantat Poly+Cal Innovation Lab di Makmal Zantat Sdn Bhd di Kawasan Industri Batu Kapur, Keramat Pulai, Simpang Pulai, dekat sini, pada Isnin.

Hadir sama, Exco Perumahan Dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching serta Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Zantat Holdings Berhad, Ivan Chan.
Pada Ahad media melaporkan, Presiden AS, Donald Trump mengadakan pertemuan dua hala dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur.
Dalam pertemuan itu, kedua-dua negara dilaporkan mencapai persetujuan penting melibatkan perdagangan timbal balik dan pembangunan sektor mineral kritikal.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dilaporkan berkata, perjanjian itu membuka ruang kerjasama lebih strategik antara dua negara berkenaan dalam bidang perdagangan dan teknologi baharu, khususnya berkaitan sumber mineral kritikal.
Perjanjian itu akan memberikan akses pengeksport kedua-dua negara serta mengukuhkan hubungan ekonomi dalam jangka panjang.
Mengulas lanjut Saarani berkata, beliau bagaimanapun yakin bahawa proses perdagangan NR-REE yang sebelum ini dijalinkan dengan negara China tidak akan terganggu.
Malah kata beliau, persetujuan yang dimeterai antara AS dan Malaysia juga akan menarik minat lebih ramai pelabur antarabanga ke Perak khususnya daripada pemain industri NR-REE.
“Dalam soal perdagangan antarabangsa ini ia perlu melalui agensi Persekutuan iaitu Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).
“Jika sebelum ini kita berurusan dengan China, maka melalui perkara yang ditawarkan AS ini kita jangka ia akan menarik lebih ramai pelabur asing seperti dari AS sendiri.
“Kita sememangnya perlukan lebih ramai pelabur antarabangsa untuk melabur di Perak,” kata beliau lagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


