IPOH – Polis menahan lima pelajar Tingkatan Lima bagi membantu siasatan video di media sosial yang memaparkan aksi berbahaya sekumpulan penunggang motosikal yang juga menghalang laluan sebuah ambulans, pada Isnin.
Ketua Polis Perak Datuk Noor Hisam Nordin berkata, sebelum itu Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar telah mengesan video tular membabitkan kumpulan motosikal itu dengan ambulan milik kementerian kesihatan (KKM) Sabtu lalu.
Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku di kilometer (km) 249 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan sekitar jam 3.15 petang, pada Ahad dua minggu lalu.
“Ambulans KKM itu sedang dalam perjalanan memberi bantuan kemalangan di km 260 PLUS arah selatan.
“Apabila sampai di lokasi kejadian, ketika ambulans tersebut berada di lorong kanan, tiba-tiba laluan telah dihalang oleh sekumpulan penunggang motosikal yang sedang membuat aksi berbahaya,” katanya dalam satu kenyataan, pada Selasa.
Noor Hisam berkata, susulan itu pasukan penguatkuasa daripada Jabatan Siasatan dan
Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak telah mengesan suspek di sekitar Pulau Pinang pada jam 3 petang Isnin.
Ujar beliau, pihak polis kemudiannya berjaya menahan lima lelaki masing-masing berusia 17 tahun serta merampas lima motosikal di sekitar kawasan Bukit Mertajam antara jam 3 petang hingga 9 malam.
“Kelima-lima suspek yang disyaki terlibat dalam kejadian tersebut telah dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Kangsar pada Selasa untuk prosedur permohonan reman.
“Mahkamah membenarkan mereka direman dua hari sehingga Rabu bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya lagi.
Justeru Noor Hisam berkata, pihak polis memandang serius kejadian yang berlaku terutama apabila ia melibatkan keselamatan pengguna jalan raya.
Kata beliau, pihak polis akan mengambil tindakan yang tegas dan sewajarnya kepada pesalah-pesalah ini agar dapat dijadikan sebagai pengajaran buat pengguna jalan raya yang lain.
“Masyarakat diseru supaya lebih prihatin dan menyalurkan seberapa banyak maklumat mengenai kejadian yang melanggar undang-undang jalan raya demi keseronokan sendiri bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya yang lain terjamin,” ujarnya.
Terdahulu tular di media sosial video pendek berdurasi 37 saat yang dimuat naik pengguna memaparkan lima remaja menunggang motosikal dengan aksi berbahaya serta menghalang laluan ambulans, meskipun siren dibunyikan. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Video tular: Polis kesan empat suspek terlibat kes pemerasan keluarga


