Hormati wartawan, menteri perlu belajar adab – Razman

IPOH – Ketua Pembangkang Perak, Razman Zakaria menegaskan bahawa kebebasan media serta hak wartawan untuk bertanya soalan adalah asas kepada sistem demokrasi.

Beliau berkata, tanpa kebebasan tersebut, rakyat akan kehilangan saluran maklumat yang bebas serta telus.

Beliau merujuk kepada laporan media berhubung tindakan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming yang didakwa mengugut wartawan, ketika sidang media projek ‘I Lite U‘ sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 baru-baru ini.

Menurutnya, tindakan itu amat dikesali dan turut menerima kecaman daripada Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJM) serta Gerakan Media Merdeka (GERAMM) yang menegaskan pentingnya menghormati kebebasan media.

“Sebagai negara demokrasi, Malaysia tidak boleh bertolak ansur terhadap sebarang bentuk tekanan, ugutan atau layanan tidak berhemah terhadap wartawan.

“Apabila wartawan ditekan, ia memberi kesan langsung terhadap ketelusan pemerintahan dan hak rakyat untuk mengetahui kebenaran,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook Demi Perakku Media pada Jumaat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semanggol itu berkata, menteri yang memegang jawatan awam perlu menunjukkan ketenangan, kesabaran dan keterbukaan apabila berhadapan dengan soalan media.

“Wartawan tidak boleh dijadikan sasaran kemarahan apabila soalan yang diajukan tidak menyenangkan. Marah atau mengugut bukanlah ciri seorang pemimpin yang berwibawa,” ujarnya.

Sehubungan itu, Razman mendesak Kor Ming yang juga Ahli Parlimen Teluk Intan dan ADUN Kepayang itu untuk memohon maaf secara terbuka kepada wartawan dan institusi media sekiranya laporan tersebut benar.

“Permohonan maaf bukan tanda kelemahan, tetapi tanda kematangan dan tanggungjawab seorang pemimpin,” tegasnya.

Beliau turut menggesa institusi serta warga media di negara ini agar terus bersatu dalam menegakkan kebenaran dan mempertahankan kedaulatan demi kepentingan rakyat serta negara.

“Saya akan terus menggalakkan budaya pemerintahan yang terbuka, berhemah dan bertanggungjawab, selaras dengan prinsip demokrasi dan keadilan.

“Kepada semua wartawan dan media, jangan risau, kami menghargai tugasan anda semua. Kepada semua pemimpin, hormatilah peranan masyarakat maklumat, kerana tanpa media yang bebas, demokrasi tidak akan subur,” katanya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Pengamal media teruskan komited dan etika – Fahmi Fadzil

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI