KUALA KANGSAR – Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar mendahului senarai 30 penerima Darjah Kebesaran dan Pingat-Pingat Negeri Perak di Istana Iskandariah di sini, pada Ahad.
Beliau dikurniakan Darjah Dato’ Seri Paduka Cura Si Manja Kini (SPCM) yang membawa gelaran Datuk Seri sempena sambutan Ulang Tahun Keputeraan Ke-69 Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
Pada istiadat sama, Sultan Nazrin berkenan mengurniakan Darjah Dato’ Seri Paduka Mahkota Perak (SPMP) yang membawa gelaran Dato’ Seri kepada tiga orang penerima.
Mereka adalah Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid; Peguam Cara Negara II, Datuk Umar Saifuddin Jaafar serta dan Orang Kaya Besar Maharaja Diraja, Datuk Dr Syed Jaafar Syed Aznan.

Penganugerahan Darjah Dato’ Seri Panglima Taming Sari (SPTS) pula, diberikan kepada Panglima Angkatan Tentera; Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar serta Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail yang membawa gelaran Dato’ Seri Panglima.
Sementara itu, Ketua Pengarah Kerja Raya, Datuk Seri Ir Roslan Ismail juga menjadi penerima tunggal Darjah Dato’ Paduka Cura Si Manja Kini (DPCM) yang membawa gelaran Dato’.
Sultan Nazrin turut berkenan mengurniakan Darjah Dato’ Paduka Mahkota Perak (DPMP) yang membawa gelaran Datuk kepada 17 penerima termasuk dua EXCO Kerajaan Negeri Perak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungkai, A Sivanesan dan ADUN Belanja, Khairudin Abu Hanipah.
Penerima lain adalah, Pengarah Jabatan Perancangan Bandar Dan Desa Negeri Perak, Mohamed Zamri Mohd Zain; Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Feisul Idzwan Mustapha; Pengarah Bahagian Perkhidmatan Jabatan Perkhidmatan Awam, Badurunhisam Mohd Nor; Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Seri Jana Santhiran Muniayan; serta Duta Besar Malaysia Ke Ireland, Wan Aznainizam Yusri Wan Abdul Rashid.

Turut menerima, Naib Pengerusi Lembaga Pengarah, Hospital Universiti Tunku Abdul Rahman, Prof Emeritus Dr Cheong Soon Keng; Ketua Eksekutif Bank Simpanan Nasional, Jay Khairil Jeremy Abdullah; Pengarah Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia Negeri Perak, Sayani Saidon; Mantan Pengarah Pendidikan Negeri, Safuan Raba’ai; serta Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pelaburan, Perdagangan Dan Industri, Mastura Ahmad Mustafa.
Juga menerima DPMP adalah Pengarah Institut Penyiaran Dan Penerangan Tun Abdul Razak, Roslan Ariffin; Lum Tuck Koe; Orang Besar Jajahan Kuala Kangsar; Dr Khairil Anuar Arshad; Presiden Akademi Perubatan Malaysia, Prof Dr Rosmawati Mohamed; serta Pengarah Perubatan Petaling Jaya Integrated Center For Advanced Surgery And Oncology Hospital, Dr Luqman Mazlan.
Sultan Nazrin juga berkenan mengurniakan Darjah Dato’ Pahlawan Taming Sari (DPTS) yang membawa gelaran Dato’ Pahlawan kepada enam penerima.

Mereka adalah, Pakar Bedah Mulut Maksilofasial Perkhidmatan Kesihatan Angkatan Tentera Malaysia Brigedier Jeneral Dr. Sharifah Azlin Juliana Syed Zainal dan Ketua Pengarah Bahagian Perkhidmatan Kejuruteraan Pertahanan, Brigedier Jeneral Fazillah Ibrahim.
Turut menerima, Panglima Armada Barat Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) KD Sri Gombak, Laksamana Madya Mohamad Azuwan Harun; serta Ketua Staf Markas Pemerintahan Operasi Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Pangkalan Udara Subang, Mejar Jeneral Ramli Mohd Abd Jabar.
Juga menerima DPTS adalah, Ketua Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, Senior Asisten Komisioner (SAC) Hishammudin Mohd Amin serta Setiausaha Sulit Kanan Kepada Sultan Perak, Brigedier Jeneral Norzahari Efandy Zakaria
Terdahulu berangkat sama ke majlis istiadat berkenaan, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah; dan Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.
Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan isteri, Datin Aezer Zubir.
Bersempena Hari Keputeraan Sultan Nazrin kali ini, seramai 238 penerima mendapat perkenan baginda untuk dikurniakan Darjah Kebesaran dan Pingat-Pingat Negeri Perak.
Sesi kedua penganugerahan darjah kebesaran dan pingat akan berlangsung pada 15 November nanti. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Sultan Nazrin berangkat ke istiadat taat setia, pengurniaan darjah kebesaran


