Perak pastikan jalan, longkang diselenggara hadapi MTL

IPOH – Kerajaan Negeri Perak akan memastikan jalan-jalan negeri dan tempatan serta longkang diselenggara dengan baik supaya sistem saliran berjalan lancar, khususnya menjelang Monsun Timur Laut (MTL).

Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam negeri, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, usaha itu akan melibatkan pelbagai agensi berkaitan termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR), Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Menurutnya, agensi tersebut akan bekerjasama melaksanakan program gotong-royong bagi membersihkan kawasan yang berisiko menjadi punca banjir.

“Kita akan pastikan jalan-jalan negeri diambil kira bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) seperti MBI.

“Longkang dan parit mereka juga perlu dibersihkan supaya aliran air tidak tersekat dan dapat mengurangkan risiko banjir,” katanya pada sidang media selepas menghadiri program tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi kesiapsiagaan MTL anjuran JKR Perak di FT001 Jalan Ipoh-Tanjung Malim di sini pada Khamis.

Hadir sama, Pengarah JKR Perak, Zamri Mat Kasim dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Pulai, Wong Chai Yi.

Perak pastikan jalan, longkang diselenggara hadapi MTL
Kakitangan Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak menyapu sampah ketika Program Corporate Social Responsibility (CSR) bagi Kesiapsiagaan Monsun Timur Laut oleh JKR di FT001 Jalan Ipoh-Tanjung Malim, Simpang Pulai. Foto ABDULLAH YUSOF, 13 NOVEMBER 2025.

Dalam pada itu, Mohammad Nizar berkata, program gotong-royong ini bukan sekadar melibatkan PBT dan agensi berkaitan tetapi juga memerlukan penglibatan masyarakat serta pihak swasta menerusi CSR.

“Saya mencadangkan supaya setiap pengurusan premis seperti stesen minyak atau taman perumahan mengambil inisiatif menjaga kawasan hadapan masing-masing.

“Contohnya, jika (stesen minyak) Shell membersihkan longkang sepanjang 300 meter di hadapan premisnya, dan (stesen minyak) Petronas serta taman berdekatan turut berbuat demikian, maka keseluruhan jalan dapat dibersihkan dengan lebih cepat dan menyeluruh,” ujarnya.

Beliau turut menjelaskan bahawa JKR akan memantau kawasan berbukit dan cerun bagi mengelakkan kejadian tanah runtuh yang boleh menjejaskan laluan utama semasa musim hujan.

“Kadang-kadang masalah banjir dan tanah runtuh berlaku di kawasan cerun tinggi. JKR sedang mengambil langkah berjaga-jaga untuk memastikan tiada tanda-tanda keruntuhan cerun yang boleh membahayakan pengguna jalan raya,” jelasnya.

Dalam masa sama, kerajaan negeri turut mengarahkan cuti pegawai-pegawai tertentu dibekukan semasa musim MTL bagi memastikan semua agensi berkaitan dapat bertindak segera jika berlaku sebarang kejadian tidak diingini. –  MG Perak

Artikel Berkaitan:

MTL: JBPM Perak kenal pasti 332 lokasi banjir, 32 hotspot kepala air

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI