KUALA LUMPUR – MalaysiaGazette (MG) berjaya merangkul tiga Anugerah Kecemerlangan Media Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) 2025 dan satu Anugerah Pakaian Terbaik di Hotel Pavilion di sini malam tadi.
Wartawan, Nur Arina Asbar dan jurukamera, Muhammad Hafiz Zaharuddin memenangi tempat pertama kategori Anugerah Video Portal atau Dalam Talian 2025 menerusi video bertajuk ‘Hidup di Bandar, Realitinya Tingal Rumah Usang dan Kotor, Sampai Bila?’ membolehkan mereka membawa wang tunai RM3,000 berserta trofi.
Sementara itu, video berjudul ‘Awas Ulat Sampah! Pakai Baju Hijau Cuci Longkang Dan Bayar Kompaun’ oleh wartawan, Rosnani Nasir dan jurukamera, Muhammad Fauzi Khairol Anuar meraih tempat kedua bagi kategori sama dengan membawa pulang RM2,000 dan trofi.
Selain itu, bagi Anugerah Kewartawanan Foto Terbaik 2025 bertajuk ‘Kilang Kapas Terbakar’ oleh Mohd Azlan Mat Sidek memenangi tempat kedua dan membawa pulang RM2,000 berserta trofi.
Tidak ketinggalan, Rosnani turut memenangi pakaian terbaik iaitu ‘Anugerah Queen Of Rock 2025’ dengan menggayakan set denim bersama but kulit sekali gus membawa pulang RM500 beserta topi.
Hadiah disampaikan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.
Arina ketika ditemui bersyukur dengan kemenangan pertama kali diraihnya itu dan menganggap tugasan yang dilakukan menghadapi pelbagai cabaran dalam menyiapkan laporan tersebut.
“Alhamdulilah, saya gembira dan bersyukur kerana ini kali pertama saya masuk bertanding. Intipati dalam anugerah ini adalah flat usang dan terdapat pelbagai cabaran dilalui.
“Antara kesukaran dalam tugasan saya adalah mencari flat usang sebab perlu tukar banyak kali lokasi, keselamatan ketika bertugas kerana lokasi banyak warga asing serta bagi mendapatkan luahan penduduk tentang permasalahan dilalui.
“Saya harap selepas ini, lebih ramai lagi wartawan menyuarakan pendapat penduduk atau masyarakat setempat kerana media adalah platform untuk sampaikan mesej sebenar,” katanya. – MalaysiaGazette


